‘Kalau Malakat gagal, saya akan bayar semua duit pelaburan KoPPIM’ – ujar Coach Fadzil

0
182
Coach Fadzil

CYBERJAYA – Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim menegaskan beliau bersedia untuk membayar semula duit pelabur Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM) sekiranya projek untuk menjadikan pusat beli belah itu berjaya berakhir dengan kegagalan.

Mohd Fadzil yang juga Presiden Kumpulan Malakat Eco berkata, penubuhan pusat beli belah itu yang pertama di sini adalah bertujuan untuk mengubah situasi yang berlaku selepas 500 tahun bangsa Melayu dan negara dijajah kuasa asing.

Beliau berkata, berdasarkan statistik, walaupun negara sudah merdeka lebih 60 tahun, pemilikan sektor runcit di negara ini masih dikuasai oleh kuasa dan syarikat asing manakala umat Islam hanya menjadi pengguna.

“Untuk dirikan Malakat ini, apa duit yang ada kita campak. Tak ada fikir nak untung ke apa.

“Kalau rugi tak apalah, duit kan Allah yang punya bukan kita punya. Berapa duit saya dah keluar? Kalau Malakat fail (gagal) saya akan bayar semua duit pelaburan KoPPIM.

“Kalau ikut undang-undang saya tak perlu bayar pun sebab itu pelaburan tapi tak apa biar saya rugi. Saya boleh cari duit itu balik insya-Allah. Allah pun dah bagi saya perniagaan yang agak kuat untuk saya bayar balik,” katanya.

Antara pelanggan yang berbelanja di Malakat Mall

Dalam pada itu, beliau yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, secara peribadi beliau telah mengeluarkan wang sebanyak RM23 juta untuk menjayakan projek pertama pusat beli belah itu.

“Saya personally saya dah letak RM23 juta atas sebab buat satu projek yang nak mengubah situasi sektor runcit di negara ini.

“Orang asyik kata guna nama Melayu la Islam la, habis itu sebab apa saya nak berniaga? Kalau setakat saya nak buka pasar raya untuk kaya lagi buat apa?

“Apa tujuannya? Saya dah kaya dah. Setakat saya dan keluarga saya dah cukup dah. Orang kata tak payah nak buat lebih dah, tetapi perjuangan yang kita buat dekat Malakat Mall itu memang nak ubah situasi peruncitan sekarang ini.

“Kalau tak percaya tengok data belanja runcit pada 2019, daripada sebanyak RM110 bilion belanja runcit, sebanyak 60 peratus syarikat asing yang dapat sebagai peruncit.

“Sebanyak 65 peratus adalah pengguna Muslim. Bukan nak menidakkan bukan Muslim tetapi majoriti orang Islam belanja dekat orang asing,” ujarnya.

Menyentuh mengenai harga barangan yang didakwa mahal, katanya, harga yang ditawarkan di pusat beli belah itu dan pasar raya Malakat Grocer secara khususnya adalah berpatutan dengan produk ditawarkan.

“Kalau bab variety (pilihan) itu kita kena perbaiki lagi. Kalau setakat barang basah dekat Malakat Grocer tanya la pelanggan yang pernah beli di sana, bagaimana dengan harganya.

“Kita bukan nak lawan IOI tapi kalau setakat nak beli ayam, susu, pampers dan sayur apa salahnya beli dekat kita.

“Kalau barang tak ada bagi tahu. Yang tak nak sokong jangan la sampai mendoakan. Saya bukan lah marah sebab kecik hati saya marah sebab perbuatan kita itu akan mengundang perkara yang tidak baik dalam hidup kita.

“Kita orang beriman. Orang beriman kalau nak buat apa apa dia akan fikir. Kurang atau tambah iman. Kalau nak tegur buat cara baik baik,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai perancangan Malakat Mall dalam masa terdekat, Coach Fadzil berkata, pihaknya dalam fasa untuk mentransformasi pusat beli belah itu.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya telah membawa masuk sebanyak 10 kontena pelbagai jenis barangan dari Turkiye.

Antara barangan dari Turkiye yang telah tiba di Malakat Mall

“Insya-Allah Malakat Mall cuba bawa barang daripada Turkiye. Kami dalam fasa untuk buat transformasi.

“Transformasi ini pun dibuat dalam keadaan dana yang sangat kurang disebabkan dua tahun lebih pandemik dengan koperasi pun ada campur tangan pihak ‘mata merah’.

“Ada yang tak suka kita buat ini. Memang ramai tak suka. Saya memang pelik. Dulu yang menentang bandar Islam pun orang Islam.

Suasana malam di Malakat Mall

“Kalau tengok kehadiran pelanggan di Malakat Mall bukan hanya terhad orang Islam tapi ada juga pelanggan India, Cina dan lain-lain yang datang. Mereka okay saja. Yang mata merah ni segelintir orang Melayu sendiri,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here