KBS akan sentiasa gilap bakat Muhammad Azeem, atlet muda lain

0
13
AHMAD FAIZAL

CYBERJAYA – Kejayaan pelari pecut muda negara Muhammad Azeem Fahmi pada saingan akhir acara 100 meter Kejohanan Olahraga Dunia di Colombia merupakan satu pencapaian mengujakan seluruh rakyat Malaysia.

Dalam saingan tersebut, Muhammad Azeem menduduki tempat kelima dengan catatan masa 10.14s.

Lebih membanggakan, kejohanan kali ini secara tidak langsung menyaksikan Muhammad Azeem berjaya memecahkan rekod kebangsaan pada sesi saringan lapan dengan catatan masa 10.09s, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Berikutan itu, bakat serta kebolehan Muhammad Azeem perlu terus digilap agar lebih banyak kejayaan dapat dicipta pada masa akan datang.

”KBS akan terus berusaha dan menyokong sebarang usaha meningkatkan pencapaian atlet dalam semua disiplin demi kemajuan sukan negara,” kata Ahmad Faizal dalam satu hantaran yang dimuat naik di laman Facebooknya, hari ini.

Beliau turut mengumumkan bahawa pihak kementerian akan mempertimbangkan untuk menaik taraf trek balapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat, Ipoh bagi melahirkan lebih ramai atlet berbakat dan berpotensi besar dalam sukan olahraga.

SMK Gunung Rapat merupakan sekolah kluster sukan yang telah melahirkan banyak atlet termasuk Muhammad Azeem.

”Semoga segala usaha untuk mengembangkan kemajuan dan industri sukan di negara ini mendapat sokongan semua pihak agar nama Malaysia terus harum di persada antarabangsa,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here