Keadaan Ainul Mardhiah kembali serius, pihak keluarga redha apa jua ketentuan-Nya

0
39
Ainul Mardhiah

CYBERJAYA – Selepas beberapa hari menunjukkan perkembangan positif ketika menerima rawatan, keadaan Ainul Mardhiah Ahmad Saifuddin kembali berada pada tahap sangat membimbangkan.

Menurut bapanya, Ahmad Safiuddin Abdul Razak, keadaan kanak-kanak itu teruk sejak semalam.

“Ainul agak “teruk” hari ni lepas diserang sawan berulang kali semalam. Ini kali pertama Ainul kena sawan. Dan ianya berlaku empat, lima kali dalam tempoh tak sampai 12 jam.

“Ainul nampak sangat berbeza sekarang. Ainul pernah banyak kali jatuh sakit sebelum ini, tapi saya nampak dia masih bertenaga untuk melawan walaupun diberi ubat tidur,” katanya.

Beliau berkata, namun demikian keadaan Ainul Mardhiah hari ini berlainan dan berada dalam keadaan kaku.

“Hari ini, walaupun tanpa ada sebarang ubat tidur, keadaan Ainul sekarang seperti ditidurkan. Hanya bola mata saja Ainul mampu gerakkan. Badannya kaku.

“Saya menangis semahunya sejak serangan berlaku tengah malam tadi. Saya tak dapat nak gambarkan apa yang saya rasa sekarang. Saya sangat sayang dengan Ainul. Saya redha,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, doktor masih berusaha merawatnya dan memohon doa semua pihak supaya keadaan Ainul Mardhiah kembali pulih.

“Kita semua sudah mendoakan yang terbaik untuknya. Sekarang tiba masanya saya serahkan urusan ini kepada yang Hak untuk menentukan.

“Jauh di sudut hati, Saya masih berharap keajaiban dari Allah swt. Semoga Allah SWT izinkan Ainul kuat dan dipanjangkan usianya supaya saya dan keluarga masih dapat menjaga dan membesarkannya di depan mata.Tapi apa lah daya saya.

“Saya tidak tahu manakala Dia tahu segalanya. Doakan untuk Ainul Mardhiah kami,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here