Keldai akaun didenda RM4,000

0
10

MELAKA – Seorang lelaki didenda RM4,000 atau lapan bulan penjara jika gagal membuat pembayaran selepas mengaku salah di atas tuduhan menjadi keldai akaun di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh menjatuhkan hukuman itu terhadap Abdul Halimee Azman, 35, yang membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah menyembunyikan sesuatu harta melalui akaun bank CIMB milik tertuduh iaitu wang berjumlah RM10,000.

Wang tersebut merupakan hasil penipuan Macau Scam daripada penama Rosidah [email protected], 56.

Tertuduh juga didapati mengetahui wang tersebut diperoleh dengan cara penipuan yang dilakukan antara pukul 12.54 sehingga 12.59 tengah hari di bank CIMB Ayer Keroh pada 12 September 2019.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam hanya merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan telah menyesal dengan perbuatannya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fikri Hakim Zamri memohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here