Kenapa kami solat di lobi mall – Pengasas Malakat

0
81
Ruang legar di lobi Malakat Mall di sini yang juga digunakan untuk penganjuran pelbagai acara.

CYBERJAYA – Cubaan sesetengah pihak yang melabel penganjuran solat berjemaah di ruang lobi Malakat Mall di sini sebagai satu tindakan keterlaluan adalah dakwaan yang tidak berasas.

Presiden Malakat Eco, Mohd Fadzil Hashim berkata, tuduhan mengatakan pihaknya seperti terlalu mahu mempamerkan imej Islam adalah tuduhan yang tidak wajar kerana ia dilakukan atas sebab-sebab tersendiri termasuk untuk kepentingan kakitangan mall itu sendiri.

“Saya terima banyak mesej dan pertanyaan tentang kenapa kami tidak buat surau. Kenapa perlu solat secara terbuka seolah-olah macam nak menunjuk-nunjuk.

“Semestinya ini dibuat kerana ada sebab-sebabnya, dan ini satu amalan yang baik dan tidak pernah dilakukan di mana-mana mall.

“Kami juga adalah satu-satunya mall yang melaungkan azan apabila masuk sahaja waktu solat,” katanya dalam hantaran video di akaun TikToknya hari ini.

Mohd Fadzil Hashim

Mohd Fadzil yang juga pengasas Malakat Mall berkata, amalan solat berjemaah di ruang lobi mall itu bukan perkara baharu bahkan telah bermula sejak dari awal pembukaan Malakat Mall.

“Ketika kami mengambil alih dan buat ubah suai mall ini, kita memang ada satu surau tapi terlalu kecil, lebih kurang saiz 4 buah kubur sahaja.

“Jadi kami jadikan ruang legar yang luas ini sebagai tempat solat kakitangan kami. Ketika itu mall masih belum dibuka kepada orang ramai pun,” katanya.

Beliau berkata, penyediaan ruang solat itu diteruskan sehingga kini malah memudahkan kakitangan dan juga pengunjung untuk bersolat.

Perkara itu juga katanya tidak sepatutnya dijadikan isu kerana ruang tersebut bukanlah satu ruang yang kekal untuk beribadat sebaliknya digunakan untuk pelbagai acara.

“Tujuan kami memang mahu menggalakkan kakitangan terutama yang lelaki untuk solat berjemaah pada awal waktu.

“Ruang bersejadah ini juga menjadi pilihan para suami berehat sementara menunggu para isteri memilih barang.

“Selain itu kita juga ada surau tertutup di tingkat 3 yang cukup selesa bagi mereka yang mahu solat di luar waktu jemaah.

“Tapi bila ada acara-acara besar, ruang ini akan digunakan sepenuhnya,” ujar beliau

Justeru katanya, orang ramai tidak perlu menjadikan usaha itu sebagai ‘modal’ untuk mencemar imej pusat beli belah itu sebaliknya bersikap lebih terbuka mengenainya.

Bahkan katanya, sebagai mall yang mempunyai komposisi pengunjung pelbagai agama, amalan itu mampu menjadi syiar Islam terutama kepada pengunjung beragama lain.

“Semoga percerahan ini dapat menjawab persoalan kenapa kita mengadakan solat berjemaah di lobi mall ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here