Keputusan Najib bukti badan kehakiman negara bebas, berintegriti tinggi

0
13
Mahkamah Persekutuan semalam mengekalkan hukuman bersalah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes SRC.

CYBERJAYA – Keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes rayuan akhir SRC International Sdn Bhd melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan institusi kehakiman negara bebas dan berintegriti tinggi.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, tindakan itu juga dapat menolak keraguan dalam kalangan rakyat tentang integriti kehakiman.

“Saya menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Datuk Seri Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC.

“MCW yakin bahawa keputusan ini tidak terkhilaf, tepat berdasarkan fakta yang diteliti secara profesional dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak atau terkena panahan unsur-unsur politik tertentu yang boleh mencemarkan martabat badan kehakiman Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga menggesa supaya kes-kes berprofail tinggi yang lain diadili dengan sebaiknya.

Beliau berkata, tidak seharusnya mana-mana pihak lebih tinggi daripada undang-undang.

“Walaupun berat mata memandang berat lagi bagi yang memikul, MCW mengucapkan syabas kepada panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat kerana tegas dalam membuat keputusan terhadap bekas Perdana Menteri yang pernah berjasa kepada negara dan ini bukanlah sesuatu yang mudah.

“Sehubungan itu, MCW juga menggesa agar kes-kes berprofil tinggi lain yang melibatkan kepentingan awam juga diadili dengan sebaiknya.

“Pihak berwajib perlu menyegerakan semua kes salah guna kuasa dan rasuah sama ada di peringkat siasatan atau pendakwaan tanpa mengira latar belakang supaya tidak wujud persepsi tindakan pendakwaan berpilih.

“Kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman dan pihak berwajib adalah bermula kecekapan menjalankan amanah dan pengadilan yang tidak berat sebelah,” tegasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here