Kerajaan peruntuk RM179 juta untuk JPKK, JPKKP seluruh negara 

0
7
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid bercakap pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan JPKK Negeri Melaka oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali di sini, hari ini.

AYER KEROH – Kerajaan menyediakan peruntukan hampir RM176 juta bagi bayaran elaun kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP), tahun ini.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, lebih RM80 juta telah selesai disalurkan kepada 12 negeri bagi fasa satu bulan Januari hingga Jun.

“Elaun berkenaan adalah insentif oleh kerajaan persekutuan sebagai menghargai peranan JPKK dan JPKKP dalam menggerakkan komuniti setempat.

“Kerajaan melihat peranan JPKK amat penting sebagai perantara di peringkat akar umbi dalam menyalurkan sebarang masalah atau aduan masyarakat kepada pihak berkuasa serta agensi yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan JPKK Negeri Melaka oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali di sini, hari ini.

Jelas Mahdzir, dua lagi negeri iaitu Pulau Pinang dan Selangor belum disalurkan peruntukan elaun tersebut.

Bagi Pulau Pinang katanya, elaun belum dapat disalurkan kerana lantikan JPKK negeri itu belum selesai sementara di Selangor pula masih menggunakan peruntukan sedia ada.

Bagi sesetengah negeri, selain elaun yang diberikan oleh kerajaan persekutuan, JPKK turut menerima elaun tambahan daripada kerajaan negeri.

“Untuk elaun tambahan ini, kerajaan negeri Melaka misalnya memberi RM200 sebulan bagi pengerusi, RM50 sebulan bagi setiausaha, RM100 elaun mesyuarat iaitu terhad kepada enam kali mesyuarat setahun dan RM50 untuk Elaun Kehadiran Mesyuarat,” katanya.

Tambah Mahdzir lagi, bayaran elaun JPKK fasa dua bagi negeri Melaka masih dalam proses melengkapkan dokumentasi oleh pihak Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Insha Allah, proses sedang berjalan dan kita akan pastikan pembayaran elaun ini akan dapat disegerakan sebelum akhir tahun ini,”ujarnya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here