Kertas siasatan LCS telah diserah kepada Jabatan Peguam Negara

0
8
Projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang diberikan secara rundingan terus bernilai RM6 bilion namun gagal disiapkan.

KUALA LUMPUR – Kertas siasatan terhadap beberapa individu berkait dengan dakwaan kes penyelewengan projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) kini siap sepenuhnya, menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPRM dalam kenyataan hari ini berkata, kertas siasatan tersebut telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Kertas siasatan tersebut telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara dengan saranan daripada SPRM untuk mempertimbangkan pertuduhan terhadap beberapa individu.

“Seterusnya, SPRM akan menerima arahan lanjut hasil daripada kajian Pejabat Peguam Negara terhadap kertas siasatan tersebut,” kata SPRM.

Semalam, Mesyuarat Jemaah Menteri mengarahkan SPRM menyegerakan siasatan projek LCS milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan Pejabat Peguam Negara membuat pendakwaan jika terdapat bukti kukuh berkaitan isu kapal tempur LCS.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum ini mendedahkan sembilan prosiding berhubung isu LCS bermula 18 Nov 2020 mendapati tiada satu kapal LCS telah disiapkan walaupun kontrak projek itu yang diberikan secara rundingan terus bernilai RM6.083 bilion itu memperuntukkan lima kapal seharusnya disiapkan dan diserah setakat Ogos 2022.

Laporan itu turut menyimpulkan terdapat banyak penyelewengan dalam projek yang menyebabkan kelewatan penghantaran dan subkontraktor tidak dibayar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here