Kes Najib bukan pengakhiran, Muhyiddin ingatkan kes Zahid Hamidi pula selepas ini

0
284
Tan Sri Muhyiddin Yassin

CYBERJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berasa lega dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan bersalah ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak atas kes SRC International Sdn Bhd.

Beliau berkata, perkara tersebut telah diperjuangkan sejak 2015 sehingga dihukum dengan pemecatan daripada kerajaan kerana lantang menyuarakan kebimbangan mengenai penyalahgunaan kuasa dan rasuah pada skala yang besar menerusi penyelewengan dana 1MDB dan SRC.

“Walaupun saya dihukum dengan pemecatan dari kerajaan dan parti pada ketika itu, saya terus istiqamah dengan prinsip menegakkan yang hak.

“Hari ini, saya bersama-sama dengan rakyat Malaysia yang konsisten melawan rasuah dan penyelewengan dapat menghela nafas lega dengan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah ke atas Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimum Tuan Mat yang mengetuai panel lima hakim mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, perkembangan itu juga membuktikan sistem kehakiman negara bebas dan dapat menjamin tertegaknya keadilan dan mengembalikan maruah negara yang tercalar.

“Kebebasan sistem kehakiman inilah yang saya pertahankan ketika saya menjadi Perdana Menteri. Walaupun ada desakan politik supaya saya campurtangan dalam kes tertentu, saya tegas menolaknya walau akhirnya saya terpaksa meletak jawatan kerana mempertahankan prinsip ini.

“Saya ingin mengingatkan bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan pada hari ini bukanlah pengakhiran sebuah perjuangan.

“Pendakwaan dalam kes 1MDB yang melibatkan penyelewangan dana berjumlah RM2.6 billion masih belum selesai. Begitu juga kes rasuah yang melibatkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) masih dalam proses perbicaraan di mahkamah, selain kes-kes berprofail tinggi yang lain,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berharap, kebebasan badan kehakiman di Malaysia terus dilindungi tanpa ada cubaan campur tangan atau desakan politik daripada mana-mana pihak agar keadilan dapat tertegak.

“Kebebasan dan integriti badan kehakiman sepertimana yang terbukti pada hari ini adalah paksi sebuah negara demokrasi.

“Tanpa badan kehakiman yang bebas, sistem demokrasi di negara kita akan gagal untuk berfungsi dan Malaysia menjadi sebuah negara yang bersifat autoritarian, rasuah dan bankrap moral,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here