Kes rayuan SRC: Lokman Adam tuntut PM beri keadilan kepada Najib 

0
55
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam (berbaju coklat) bersama penyokong bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bergambar di hadapan Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini.

PUTRAJAYA – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menuntut keadilan diberikan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes rayuan terakhir penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang bermula hari ini.

Menurut beliau, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sepatutnya memainkan peranan beliau dalam kes ini.

“Sepatutnya sebagai Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri boleh memberikan keadilan, kita bukan suruh dia gugurkan kes Datuk Seri Najib, gugurkan kes Datuk Seri Zahid.

“Hari ini jelas keadilan tidak dilakukan di zaman pemerintahan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri. Buktinya jelas, hari ini dia (Najib) cuma minta masa diberikan kepada peguam baru bukan minta tangguh,” katanya kepada media di perkarangan Istana Kehakiman hari ini.

Mengulas lanjut, beliau juga mempersoalkan tindakan undang-undang yang diambil hanya terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Sama juga dengan kes yang melibatkan Datuk Zahid, hari ini yang telah terbongkar Datuk Zahid telah menerima duit daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

“Bila Datuk Zahid terima mereka kata ini rasuah, tetapi terang lagi bersuluh Tan Sri Muhyiddin Yassin pun terima daripada orang yang sama, UKSB.

“Dr Mahathir Mohamad pun sama, begitu juga Hishamuddin, Khairy Jamaluddin, Shafie Apdal dan ramai lagi kenapa orang orang ini tidak didakwa?,” soalanya.

Terdahulu, Datuk Seri Najib Razak bersama peguam utamanya yang baru dilantik, Hisyam Teh Poh Teik, tiba di Istana Kehakiman di sini, bersama dua peguam lain pada jam 7.57 pagi bagi memulakan prosiding rayuan terakhir, hari ini.

Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman atas kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here