Kesatuan imigresen selar tindakan KPPA tengking pegawai imigresen di khalayak

0
1483
Imigresen KLIA

CYBERJAYA – Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) melahirkan rasa terkilan dan kecewa dengan tindakan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) yang menengking dan mengeluarkan ayat kesat terhadap seorang pegawai imigresen yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurut Presiden KPISM, Khairil Niza Khairuddin, tindakan yang tidak profesional itu tidak seharusnya dilakukan oleh seorang pegawai tertinggi kerajaan terutamanya di hadapan khalayak ramai.

“Pegawai ini yang bertugas sebagai Ketua Operasi Imigresen KLIA telah dipanggil, ditengking dan diherdik serta diminta supaya berdiri tegak di tengah khalayak ramai oleh KPPA.

“Tindakan yang tidak profesional oleh seorang pegawai tertinggi kerajaan ini dan kata-kata yang dilepaskan dalam nada menengking di hadapan orang ramai serta kakitangan Imigresen lain yang sedang bertugas merupakan satu sikap biadap serta tidak menghormati entiti perkhidmatan awam itu sendiri.

Pegawai Imigresen lain yang berada di tempat kejadian turut merasa terhina di khalayak ramai atas tindakan KPPA tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, katanya, kejadian itu berlaku hari ini antara jam 8.40 pagi hingga 9.40 pagi di Balai Berlepas, KLIA.

Menurutnya, insiden bermula apabila tiada pegawai Imigresen ditempatkan di kaunter bilik orang kenamaan (VIP) KLIA kerana keperluan pegawai bertugas di kaunter biasa lebih diperlukan berbanding kaunter tersebut.

Dalam pada itu, katanya, sikap KPPA yang mahukan layanan VVIP juga menunjukkan sikap pentingkan diri serta tidak cakna dengan kesusahan rakyat dan orang awam lain yang sabar beratur menunggu giliran.

Malah katanya, sikap pegawai tertinggi pegawai kerajaan itu juga tidak mencontohi kepimpinan sepertimana KPPA sebelumnya dan tidak layak menjawat jawatan tersebut.

“Pegawai yang ditengking serta diperlakukan sedemikian rupa adalah merupakan seorang pegawai yang cekap, berhemah dan sentiasa responsif dengan sebarang situasi di tempat kerja.

“Pegawai ini bertugas dengan penuh dedikasi dalam memastikan urusan keluar masuk dan operasi pemeriksaan penumpang di KLIA berjalan dengan lancar. Kejadian ini amat mengguris hati pegawai Imigresen lain keseluruhannya.

“KPISM menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada KPPA kepada pegawai tersebut dan kepada jabatan ini secara keseluruhannya,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya juga menggesa kepada kerajaan dan CUEPACS agar memandang serius perkara ini dan satu tindakan perlu diambil kepada penjawat awam yang sombong serta angkuh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here