Kesatuan imigresen tetap tuntut KPPA mohon maaf

0
64
Imigresen

PUTRAJAYA – Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) tetap menuntut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah, memohon maaf kerana melemparkan kata-kata terhadap seorang pegawai Jabatan Imigresen (JIM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Rabu lalu.

Presiden KPISM, Khairil Niza Khairuddin, berkata sekiranya KPPA enggan membuat permohonan maaf, pihaknya akan mengadakan pertemuan semula dengan Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat dan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani, bagi memanjangkan isu terbabit hingga kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, pada masa sama KPSIM menggesa kerajaan dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali campur tangan menyiasat perkara itu yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang pegawai tinggi awam.

“Saya sudah sudah menghubungi Setiausaha MTUC, Kamarul Baharin Mansor, bagi memberi penjelasan perkara yang berlaku itu.

“Mohd Syafiq boleh membuat teguran sekiranya pegawai JIM berkenaan melakukan kesalahan, namun perlu melakukan mengikut saluran dan cara yang betul, bukannya di khalayak,” katanya memetik laporan BH Online hari ini.

Semalam, Adnan mengadakan pertemuan dengan Khairil Niza bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian itu.

Pada sidang media, badan itu turut menuntut KPPA memohon maaf atas tindakan yang dilakukan ke atas Ketua Operasi Imigresen KLIA, Ketua Penolong Penguasa (KPP 48) James Lee.

Khairil Niza menegaskan, bilik orang kenamaan (VIP) di KLIA, adalah di bawah tanggungjawab Malaysia Airports dan JIM hanya akan dimaklumkan sehari awal sekiranya digunakan VIP.

Menurutnya, pegawai imigresen juga akan ditugaskan di bilik berkenaan, sejam sebelum penerbangan berlepas.

“Bagi KPSIM, James Lee adalah seorang Ketua Operasi JIM yang komited dan beliau tidak sewajarnya diperlakukan sedemikian, lebih-lebih lagi oleh KPPA yang perlu menunjukkan teladan yang baik kepada pegawai bawahan mereka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here