Kesedaran ibu bapa mengenai autisme semakin baik

0
107
Dr. Nil Farakh (bertudung cerah) bersama tenaga pengajar Genius Kurnia yang hadir di Showcase Transformasi Pendidikan anjuran KPM di Putrajaya, hari ini.

PUTRAJAYA – Tahap kesedaran ibu bapa di Malaysia terhadap autisme masih rendah jika dibandingkan dengan negara Barat.

Pengarah Pusat Genius Kurnia, Dr Nil Farakh Sulaiman bagaimanapun berkata, program kesedaran yang selama ini dilaksanakan sedikit sebanyak berjaya membantu membuka mata golongan masyarakat terhadap keadaan berkenaan.

Untuk rekod, Genius Kurnia merupakan satu-satunya pusat intervensi awal bagi anak autisme di bawah kementerian Pendidikan (KPM).

“Selaku unit yang bertanggung jawab terhadap pendidikan autisme di KPM, peranan Genius Kurnia tidak hanya terhad pada anak dan ibu bapa mereka, tetapi juga masyarakat.

“Kita antara lain turut mengadakan bengkel pendidikan buat golongan profesional dan komuniti, bagi memberi kesedaran kepada semua,” kata Dr. Nil Farakh.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Showcase Transformasi Pendidikan anjuran KPM di pusat beli belah Alamanda, di sini hari ini.

Jelasnya, kesemua program kesedaran dan bengkel mengenai autisme dilaksanakan secara maya dan boleh di akses di laman sesawang iautism.edu.my dan laman Facebook rasmi Genius Kurnia Official.

“Alhamdulillah, kini sudah semakin ramai ibu bapa yang membawa anak mereka untuk didiagnos apabila mereka menyedari anak mereka mempunyai kelainan. Ini menunjukkan mereka sudah ada kesedaran (terhadap keadaan itu),” kata Dr. Nil Farakh.

Autism merupakan satu keadaan kesihatan di mana anak yang sedang membesar mengalami gangguan neuro yang mempengaruhi keupayaannya untuk berkomunikasi, belajar dan berinteraksi.

Jelas Dr. Nil Farakh, keadaan ini perlu didiagnos segera kerana program intervensi tersebut perlu dilaksanakan seawal mungkin.

“Oleh sebab itu, kesedaran masyarakat amat penting dalam mengenal pasti ‘kelainan’ tersebut.

“Jika autism berjaya dikenal pasti pada peringkat awal, program intervensi yang dilaksanakan dapat membantu perkembangan anak tersebut supaya selari dengan umurnya,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here