KMUM tuntut pihak pengurusan UM gugurkan polisi ‘tindas’ pelajar 

0
19
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) menuntut pengurusan Universiti Malaya (UM) menggugurkan serta-merta dasar baharu yang tidak membenarkan mahasiswa mendaftar kursus sebelum menjelaskan yuran pengajian masing-masing.

Menurut Presidennya, Ooi Guo Shen, polisi ini akan mengancam dan menjejaskan pembelajaran mahasiswa UM terutama bagi keluarga berpendapatan bawah 40 peratus terendah (B40) dan 40 peratus sederhana (M40)

“Dasar baharu itu mewajibkan pelajar membuat pembayaran penuh yuran pengajian untuk mendapat status pelajar aktif.

“Hal ini akan menyebabkan pelajar tidak dapat mendaftar subjek dan modul mereka pada semester baharu, sekali gus menyebabkan mahasiswa gagal menerima akses, selain tidak boleh menghadirkan diri ke kelas pengajian,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Mengulas lanjut, Guo Shen berkata, pihaknya menuntut pengurusan UM menggugurkan serta-merta tindakan universiti yang tidak membenarkan penuntut mendaftar untuk pengajian semester seterusnya seperti tertakluk pada R 18 Peraturan-peraturan UM (Ijazah Sarjana Muda) 2019.

Tambahnya lagi, sebagai alternatif, pihak universiti perlu mengadakan perbincangan dengan mahasiswa sama ada dalam bentuk ‘townhall’ atau perbincangan bersama KMUM bagi mewujudkan satu prosedur bayaran secara ansuran yang bersikap mesra terhadap golongan itu terutama mereka daripada keluarga kurang berkemampuan.

“Kebanyakan penuntut UM bukan penerima biasiswa. Merujuk kepada Laporan Tahunan UM 2020, seramai 6,184 mahasiswa menerima skim pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), seramai 1,765 mahasiswa menerima skim tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan 648 mahasiswa menerima skim tajaan lain.

“Daripada jumlah 19,164 mahasiswa Ijazah Sarjana Muda, hanya 8,597 menerima tajaan atau biasiswa.

“Dalam erti kata lain, terdapat 10,567 mahasiswa tidak menerima sebarang tajaan iaitu 55.14 peratus,” katanya.

Dia juga menegaskan akan membawa perkara ini kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta Jabatan Perdana Menteri seandainya pihak pengurusan UM mahu meneruskan polisi tersebut.

Terdahulu, satu notis dikeluarkan pihak pengurusan UM mengenai Polisi Kutipan Hutang Pelajar berkuat kuasa 19 September ini.

Polisi itu menuntut mahasiswa perlu menjelaskan segala yuran dan bayaran lain pada permulaan pendaftaran setiap semester, melainkan ia dikecualikan daripada mana-mana yuran atau bayaran lain atau kedua-duanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here