Kompaun RM250 untuk premis tidak pasang Jalur Gemilang

0
24
Pelaksanaan itu bertujuan memberi kesedaran kepada kepentingan nilai kemerdekaan.

IPOH – Premis perniagaan di daerah ini yang tidak memasang Jalur Gemilang pada bulan kemerdekaan ini akan dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM250.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin, berkata inisiatif tindakan ini bertujuan memberi kesedaran berhubung kepentingan dan nilai kemerdekaan, sekali gus menyemarakkan sambutan hari kemerdekaan negara.

“Kita akan menyerahkan notis pemasangan bendera kepada premis perniagaan petang ini (semalam).

“Kompaun sebanyak RM250 akan diberikan kepada premis perniagaan yang gagal mematuhi arahan memasang Jalur Gemilang ketika sambutan merdeka,” katanya memetik laporan Berita Harian hari ini.

Rumaizi berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Majlis Bandaraya Ipoh 2022 di Bangunan MBI di sini.

Rumaizi berkata, bagaimanapun pihaknya mengambil pendekatan untuk menasihati pemilik premis yang tidak memasang Jalur Gemilang terlebih dulu sebelum mengenakan tindakan berkenaan.

“Pendekatan itu diambil tertakluk mengikut Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan, kerana melanggar syarat lesen seperti syarat am yang tertera di belakang setiap lesen premis perniagaan.

“Memang akan ada tindakan kompaun, tetapi biasanya kita akan menasihati pemilik premis terlebih dulu,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga mengesyorkan penduduk mengibarkan bendera sepanjang bulan kemerdekaan ini.

“Apa yang paling penting semangat dan jiwa kita untuk menyambut kemerdekaan itu lebih utama,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here