KPDNHEP Melaka bongkar kegiatan sorok minyak, gula

0
13
Norena (tengah) menunjukkan bekalan gula dan minyak masak yang disita daripada peniaga terbabit.

MELAKA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka berjaya membongkar kegiatan menyorok minyak masak dan gula pasir di sebuah kedai runcit di Ayer Keroh, semalam.

Pengarah KPDNHEP Melaka, Norena Jaafar berkata, tindakan pemilik berusia 60 tahun itu menyembunyikan barang kawalan di stor kedai runcit dihidu selepas pihaknya membuat risikan awal beberapa jam sebelum menyerbu premis berkenaan lebih kurang jam 12.30 tengah hari.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di stor simpanan premis tersebut menemui 460 kilogram (kg) minyak masak botol pelbagai jenama dan lebih 1176kg gula pasir.

“Kesemua nilai rampasan dianggarkan lebih RM7,000 dan barangan yang disita telah dibawa dan disimpan di stor KPDNHEP di Krubong.

“Pemeriksaan yang dilakukan mendapati stor terbabit tidak dilesenkan dan premis itu disyaki dengan niat menyorok barang kawalan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang akhbar di stor KPDNHEP Melaka di Krubong, hari ini.

Menurut Norena, kes disiasat di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang yang dikawal selain daripada premis yang dilesen.

Katanya, KPDNHEP Melaka turut memberi amaran tegas dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana peruncit mahupun pemborong yang cuba untuk menyorok barang kawalan di negeri ini.

“Tolong jangan sorok minyak masak termasuk minyakpeket dan kita telah buat beberapa intipan, namun kedai sama berulang kali membuat kesalahan itu.

“KPDNHEP tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan perbuatan tersebut,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here