KPM sentiasa cari peluang, ruang gilap bakat murid – Radzi Jidin

0
81
Radzi ketika menyampaikan ucapannya di Kejohanan Bola Tampar Amatur Putrajaya, di sini hari ini.

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan sentiasa mencari peluang dan ruang menggilap bakat dan potensi yang ada pada murid dalam semua segi termasuk bidang sukan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Radzi Mat Jidin berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan penyertaan atau kerjasama semua pihak termasuk korporat dan swasta bagi memastikan bakat murid yang berpotensi dalam sukan dapat dioptimumkan.

“Kita amat mengalu-alukan penglibatan semua pihak dalam menjayakan pembangunan Sistem Pendidikan Negara kerana kita tidak mampu melakukannya bersendirian.

Juara Terbuka Lelaki, Siang VC dari Petaling Jaya.

“Jadi, kita memerlukan sokongan, dokongan semua pihak termasuk ibu bapa, pemimpin masyarakat, pemimpin sukan, persatuan sukan dan badan korporat untuk kita sama-sama gemblengn tenaga bagi memastikan anak kita yang berpotensi ini dapat dioptimumkan bakat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Kejohanan Bola Tampar Amatur Putrajaya di Dewan Gemilang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 16 (1), di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden Persatuan Bola Tampar Wilayah Persekutuan Putrajaya, Zulkifli Azmi.

“Sebab itu kita adakan banyak kerjasama dengan pelbagai pihak untuk memastikan kita dapat bukan saja mencungkil bakat baru, tetapi memberi keyakinan bahawa mereka mempunyai kekuatan masing-masing,” katanya.

Tambahnya, penubuhan Yayasan Didik Negara (YDN) merupakan manifestasi kepada hasrat tersebut.

“Kita sedang usahakan kerjasama dengan badan korporat dan swasta menerusi YDN. Yayasan ini akan membantu kementerian bukan saja dalam pembangunan akademik, tetapi juga kokurikulum, termasuk pembangunan sukan,” tambahnya.

Sementara itu, kejohanan tersebut berjaya menarik penyertaan 25 pasukan wanita dan 40 pasukan lelaki.

Dalam perlawanan akhir Terbuka Lelaki, pasukan Siang VC dari Petaling Jaya berjaya menewaskan Segamat VC 31-27 dalam format volleython.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here