Langgar hukum syarak, sebuah pusat tariqat di Negeri Sembilan ditutup

0
527
Sebuah pusat tariqat yang beroperasi di Labu, Seremban diarah tutup kerana dikesan melakukan perbuatan yang bercanggah dengan hukum syarak.

SEREMBAN – Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan bertindak menutup pusat pengamalan tariqat yang dipimpin oleh Tuan Habib Shah Firdaus Habib Ahmad kerana melakukan perbuatan yang bercanggah dengan hukum syarak.

Menurut Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad, tariqat itu yang beroperasi di sebuah rumah di Batu 8, Kampung Jawa, Labu di sini juga didapati melakukan bentuk amalan yang bercanggah dengan bentuk pengamalan tarekat tasawuf yang direkodkan dalam Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005.

“Hasil maklumat orang ramai dan kerjasama daripada pihak Polis Diraja Malaysia serta pihak Bahagian Penguatkuasa, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, pihak Jabatan Mufti Negeri Sembilan telah bertindak mengeluarkan notis awal pada 25 Julai 2022 berhubung cadangan untuk penutupan pusat pengamalan tariqat tersebut.

“Pihak Tuan Habib Shah Firdaus Habib Ahmad diminta untuk memberi jawapan dalam tempoh tujuh hari notis tersebut dikeluarkan.

“Sekiranya pihak Tuan Habib Shah Firdaus Habib Ahmad gagal berbuat demikian, tindakan di bawah peruntukan sub-seksyen 18(1) Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005 iaitu penutupan pusat pengamalan bagi Tariqat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah pimpinan Tuan Habib Shah Firdaus Habib Ahmad dikenakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, katanya, selepas tempoh itu pihaknya masih belum menerima sebarang jawapan.

“Oleh kerana tiada jawapan daripada pihak Tuan Habib Shah Firdaus Habib Ahmad diterima, maka semalam satu notis penutupan pusat pengamalan Tariqat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah pimpinan Tuan Habib Shah Firdaus Habib Ahmad dikeluarkan bagi tempoh enam bulan.

“Hal ini mengikut Subseksyen 18(1), Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005.

“Sekiranya pihak beliau melanggar arahan ini dan didapati menjalankan aktiviti di pusat tersebut, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya.

“Dan dalam hal kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang tidak melebihi tiga tahun dan dikenakan denda lima ribu ringgit [subseksyen 18(5)],” ujarnya.

Sementara itu, katanya, penutupan pusat itu dibuat bertujuan agar siasatan lanjut dapat dilakukan sebelum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan membuat keputusan, sama ada untuk membatalkan atau tidak pendaftaran tariqat tersebut.

“Apa yang berlaku ini, dilihat adalah kesalahan yang dibuat oleh individu yang memimpin tariqat tersebut, sama ada pengamal atau amalannya mengikut hukum syarak dan disiplin ilmu tariqat dan tasauwuf atau tidak.

“Sebagaimana yang diketahui, Tariqat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah merupakan satu daripada tariqat yang muktabar di dunia.

“Ini adalah tindakan proaktif yang diambil oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan bagi menyekat kesalahan dalam tariqat dan pelanggaran apa-apa syarat yang telah ditetapkan.

“Selain itu, dengan adanya Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005 ini, tariqat yang beramal di Negeri Sembilan dapat dikawal dan dipantau serta sekiranya ada kesalahan yang dilakukan tindakan secara undang-undang boleh dikenakan,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here