Langkah wujudkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi semakin buahkan hasil – PM

0
9
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) dan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) Peringkat Kebangsaan di Dataran Kerayong, Bera hari ini.

BERA – Langkah kerajaan memperkenalkan beberapa usaha termasuk Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi menangani isu peningkatan harga barang dan inflasi semakin membuahkan hasil.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menerusi usaha tersebut kenaikan harga barang menjadi lebih terkawal.

“Alhamdullilah, kita mula melihat hasil yang positif daripada usaha-usaha kerajaan secara berterusan termasuklah Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi.

“Kesannya, kenaikan harga lebih terkawal dengan jaminan rantaian bekalan makanan dan barangan lebih meyakinkan terutama ayam dan minyak masak dalam botol,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) dan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) Peringkat Kebangsaan di Dataran Kerayong, Bera hari ini.

Program itu diadakan sempena pelancaran Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) dan JMKM Peringkat Kebangsaan.

Mengulas lanjut, katanya, bagi langkah seterusnya, kerajaan akan memperluaskan dan menjenamakan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) kepada JMKM melibatkan 600 buah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara dan 13 buah kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai ReDI, katanya, ia merupakan salah satu program berimpak tinggi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi memastikan agenda digitalisasi khususnya penggunaan e-dompet dalam kalangan para pengguna dan peniaga diperluaskan ke kawasan luar bandar.

“Bagi menggalakkan pembayaran tanpa tunai ini, kerajaan menawarkan inisiatif e-voucher Program Jualan Malaysia dengan peruntukan RM2 juta mulai 30 Ogos 2022 hingga 31 Disember 2022 dan e-voucher boleh dimuat turun melalui aplikasi MySales Tracker KPDNHEP,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here