Larangan menjaja pada waktu puncak antara usaha tangani kesesakan lalu lintas di KL 

0
16
Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil pelbagai inisiatif bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di ibu negara berikutan berlaku peningkatan kenderaan sejak akhir-akhir ini.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, DBKL sedang giat melaksanakan inisiatif bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas ini melalui pelbagai tindakan.

“DBKL telah mengambil tindakan-tindakan jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang bagi mengatasi punca-punca kesesakan yang telah dikenal pasti.

“Tindakan jangka pendek merangkumi bekerjasama dengan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (PDRM).

“DBKL juga mengadakan kawalan penguatkuasaan secara bersama pada waktu puncak dan memasang papan tanda larangan kenderaan berat memasuki pusat bandar pada waktu puncak,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan oleh Datuk Dr Dominic Lau Hie Chai dalam sidang Dewan Negara di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, langkah jangka sederhana yang telah diambil DBKL pula merangkumi tujuh inisiatif seperti melarang kenderaan parkir di bahu jalan, mengemas kini papan tanda, melarang penjaja berniaga ketika waktu puncak dan lain-lain.

Tambahnya lagi, DBKL turut mencadangkan lima inisiatif bagi jangka masa panjang.

Antaranya, katanya, dengan penambahbaikan jajaran stesen permulaan dan stesen terakhir bagi semua pengangkutan awam dan intregrasi antara konsesi lebuh raya dan penyuraian trafik yang lebih berkesan.

“Selain itu, penambahbaikan juga dibuat terhadap perkhidmatan pengangkutan awam seperti GOKL termasuk kempen berterusan bagi galakkan penggunaan pengangkutan awam dan penambahan infrastruktur sokongan contoh seperti laluan bawah tanah dan pejalan kaki.

“Selain itu, turut dilakukan ialah dengan menguatkuasa semula infrastruktur laluan lorong bas di pusat bandar,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here