Lebih 1,200 graduan dapat kerja menerusi Seminar dan Pameran Kerjaya Bidang Kejuruteraan dan Teknologi 

0
18
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid (depan, dua dari kanan) hadir ke majlis Perasmian Penutup Seminar dan Pameran Kerjaya Bidang Kejuruteraan dan Teknologi di ibu negara hari ini.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,200 graduan dan pelajar telah mendapat padanan kerjaya masing-masing menerusi Seminar dan Pameran Kerjaya Bidang Kejuruteraan dan Teknologi di sini, hari ini.

Seminar yang diadakan selama dua hari itu turut menampilkan syarikat ternama seperti Prasarana Malaysia Berhad, KPMG Malaysia, Micron Memory Malaysia Berhad, Perusahaan Otomobil Nasional (Proton) dan Genting Malaysia Berhad.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, peluang kerjaya itu ditawarkan Majlis Amanah Rakyat (MARA) menerusi kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA) dan 10 syarikat swasta terkemuka.

“Penganjuran seminar dan pameran kerjaya ‘Career Crafting – Engineering & Technology’ ini adalah untuk memberi peluang penempatan pekerjaan sekaligus menyokong kepada kadar kebolehpasaran yang tinggi kepada graduan di bawah MARA,” katanya.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid bergambar bersama para graduan selepas majlis Perasmian Penutup Seminar dan Pameran Kerjaya Bidang Kejuruteraan dan Teknologi di ibu negara hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Perasmian Penutup Seminar dan Pameran Kerjaya Bidang Kejuruteraan dan Teknologi di ibu negara hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Che Murad Sayang Ramjan, Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf dan Pengarah Eksekutif MIDA (Fasiliti Pelaburan) Jasbir Kaur.

Jelas Mahdzir lagi, anjuran program seperti ini adalah selaras dengan usaha kerajaan dalam mengurangkan kadar pengangguran graduan Bumiputera.

“Tahun lalu, kebolehpasaran graduan TVET dan profesional yang dilahirkan oleh MARA mencapai 94 peratus, sekaligus membuktikan mereka mempunyai kemahiran asas yang tinggi, cekap, dan sentiasa memenuhi kehendak industri.

“MARA memberi tumpuan kepada tiga program utama iaitu Inisiatif Pengajian, Latihan dan Penempatan (Mystep) serta Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran (Upskill Malaysia),” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, sepanjang dua hari seminar itu berlangsung, kira-kira 3,000 pelajar dan graduan MARA hadir dengan lebih 1,500 peluang pekerjaan dalam bidang kejuruteraan dan teknologi disediakan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here