Lelaki campak 3 kanak-kanak dari MRR2 sebelum terjun

0
128
Dua daripada kanak-kanak itu maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah.

CYBERJAYA – Seorang lelaki dipercayai warga Myanmar bertindak kejam apabila mencampak tiga kanak-kanak sebelum terjun dari jejambat Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Kuala Lumpur pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dua kanak-kanak dan lelaki itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi kanak-kanak cedera parah dan dibawa ke Hospital Selayang bagi rawatan lanjut.

“Menurut saksi, sebelum kejadian, lelaki Myanmar tersebut didapati berjalan sambil menggendong seorang kanak-kanak manakala dua lagi kanak-kanak dipegang di tangan kanan dan kirinya pada 5.50 pagi,” katanya dalam kenyataan.

“Saksi cuba menghampiri lelaki berkenaan namun secara tiba-tiba lelaki itu terus mencampakkan kanak-kanak yang dikendong dan dipimpinnya dari jejambat MRR2, lelaki berkenaan juga bertindak terjun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Eng Lai berkata, semua mangsa ditemukan di tepi jalan raya berhampiran lampu isyarat di Desa Jaya.

“Lelaki dan dua orang kanak-kanak Myanmar berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang kanak-kanak yang parah dibawa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan memandangkan keadaan mangsa yang sangat kritikal.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis meminta orang ramai tampil memberikan maklumat bagi tujuan siasatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here