Lelaki cedera di kepala akibat tegur jiran tolak air

0
57

CYBERJAYA – Seorang penduduk Taman Bayu Emas, Klang cedera selepas dipukul dengan penyodok air oleh jirannya.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, siasatan mendapati kejadian kira-kira jam 9.20 pagi semalam berlaku akibat perselisihan faham di antara mangsa dan jirannya.

Perselisihan faham itu berpunca akibat tindakan jirannya menolak limpahan air hingga masuk ke halaman rumahnya.

“Perbuatan jiran itu telah membangkitkan kemarahan mangsa dan seterusnya berlaku pergaduhan. Semasa pergaduhan itu, jiran (suspek) telah memukul mangsa menggunakan penyodok air yang diperbuat daripada besi.

“Tindakan itu mengakibatkan mangsa berusia 54 tahun mengalami luka di kepala dan menerima 15 jahitan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, bertindak atas maklumat dan aduan mangsa, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah menahan suspek pada jam 10.30 malam hari yang sama.

Katanya, suspek seorang warga tempatan berusia 43 tahun itu kini direman tiga hari sehingga Rabu.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Kertas siasatan akan dilengkapkan dalam masa terdekat dan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here