Lelaki mencurigakan ditahan bersama pistol dan peluru

0
22
Pistol bersama tiga peluru dan tiga kelongsong yang dijumpai pada suspek yang ditahan di Taman Ria Jaya, di sini semalam. – Foto ihsan PDRM

SUNGAI PETANI – Polis menemui sepucuk pistol bersama enam biji peluru dalam milikan seorang lelaki yang ditahan berhampiran bangunan kedai di Taman Ria Jaya, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, suspek lelaki berusia 40 tahun itu bertindak melarikan diri ketika dihampiri anggota polis.

“Dalam kejadian pada 4.30 petang itu, suspek berjaya ditahan oleh anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda.

“Suspek pada mulanya dikesan dalam keadaan yang mencurigakan dan bertindak melarikan diri sebaik anggota menghampirinya.

“Hasil pemeriksaan, polis merampas sepucuk pistol hitam jenis Colt PT.F.A buatan Amerika Syarikat bersama tiga peluru dan tiga kelongsong yang disimpan suspek,” katanya.

Menurut Zaidy, semakan mendapati suspek mempunyai 14 rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

Bagaimanapun katanya, siasatan sedang dijalankan untuk mengetahui motif sebenar suspek menyimpan dan memiliki senjata api terbabit.

“Kita masih menyiasat motif sebenar suspek yang menyimpan serta memilki pistol itu dan tidak menolak kemungkinan lelaki terbabit sedang merancang atau mahu melakukan jenayah.

“Selain itu, siasatan juga dijalankan bagi mengenal pasti sama ada suspek pernah menggunakan pistol berkenaan untuk melakukan sebarang aktiviti jenayah sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin.

Katanya, suspek yang tidak bekerja itu kini direman lima hari bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti lebih berat) 1971.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here