MARA Corp diberi tanggungjawab hidupkan MARA Digital Mall 

0
12
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid memberikan ucapan sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Majlis Amanah Rakyat (MARA) 2021 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini. 

PUTRAJAYA – MARA Corporation (MARA Corp) hari ini diminta untuk menganjurkan lebih banyak program yang melibatkan penyertaan golongan belia pada setiap hujung minggu sekitar MARA Digital Mall.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, permintaan itu bagi menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahukan MARA Digital Mall diteruskan.

“Saya nak syorkan kepada MARA Corporation kalau boleh hujung minggu minta kerjasama DBKL tutup jalan di depan MARA Digital.

“Boleh buat macam-macam program dengan anak-anak muda. Tapi itu kena ada kerjasama di antara DBKL dengan MARA,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) MARA di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Jelas Mahdzir, penganjuran program yang pelbagai di persekitaran MARA Digital Mall itu akan menarik penglibatan generasi muda khususnya golongan Bumiputera untuk berniaga di situ.

MARA Corp katanya boleh melaksanakan program itu dengan kerjasama bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Dalam pada itu, satu perbincangan bersama Kementerian Wilayah Persekutuan juga akan diadakan bagi memperincikan syor tersebut.

Semalam, Perdana Menteri mengadakan lawatan mengejut ke MARA Digital Mall bersama Mahdzir dan beberapa pegawai tinggi MARA.

Susulan itu, Perdana Menteri mengarahkan MARA meneruskan projek Digital Mall itu bagi membuka peluang kepada anak muda Bumiputera terlibat sebagai usahawan teknologi maklumat (IT).

Beliau mendapati peniaga yang ada di MARA Digital Mall mampu meneruskan perniagaan kerana jualan semakin meningkat.

Untuk rekod, MARA Digital Mall dicetuskan oleh Ismail Sabri semasa beliau menyandang jawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) pada tahun 2015.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here