Marhaban dan qasidah sesuai dialunkan di mana-mana

0
9

CYBERJAYA – Gema alunan marhaban dan qasidah memenuhi ruang legar Malakat Mall dengan penganjuran Hari Marhaban dan Qasidah, hari ini.

Program yang dianjurkan oleh pusat beli belah itu dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) Pawana merupakan satu usaha mempromosikan budaya yang sudah semakin dilupakan oleh golongan masa kini.

“Marhaban dan qasidah sesuai dialunkan di mana-mana, bukan sahaja ketika majlis bercukur bayi, ataupun kenduri.

“Kita cuba membiasakan sesuatu yang tidak biasa. Semoga usaha ini akan memanfaatkan kita pada masa akan datang,” kata wakil penganjur, Fauzilah Zaiful Yazan.

Fauzilah menambah, Pawana merupakan sebuah NGO yang beribu pejabat di Ampang, Selangor dan memfokuskan usaha membantu golongan ibu tunggal dan warga emas.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakat Eco, Hilmi Ismail tidak menolak kemungkinan majlis seperti ini akan diadakan pada masa akan datang.

“Insya Allah mungkin akan datang kita anjurkan pertandingan. Kita nampak sendiri daripada penganjuran kali ini, sambutan daripada orang ramai adalah menggalakkan,” kata Hilmi.

Hari Marhaban dan Qasidah yang berlangsung pada hari ini menampilkan tiga kumpulan – Kumpulan Nur Jannah dari Flet Sri Sabah, Cheras; Kumpulan Rabiatul Adawiyah dari Presint 9, Putrajaya; dan Kumpulan Al Huda dari Pandan Mewah, Ampang – mengalunkan irama marhaban dan qasidah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here