Markas kumpulan ajaran sesat Hadi Minallah tidak wujud 

0
48
Kondominium yang disyaki menjadi tempat beroperasinya Yayasan Nur Mutiara Makrifatullah didalangi kumpulan ajaran sesat Hadi Minallah. Kredit foto – Berita Harian

KUALA LUMPUR – Markas operasi Yayasan Nur Mutiara Makrifatullah didalangi kumpulan ajaran sesat Hadi Minallah di sebuah kondominium di Danau Kota, Setapak, di sini, didapati tidak wujud.

Alamat yayasan berkenaan yang tertera pada poster promosi khidmat konsultasi oleh pengasas ajaran sesat dikenali sebagai Aminullah Ahmad itu didapati tidak lengkap.

Menurut kakitangan di pejabat Badan Pengurusan Bersama (JMB) kondominium terbabit, semakan mendapati alamat yayasan terbabit kemungkinan sebuah lot kosong di ruang perniagaan terbuka di bahagian bawah kondominium terbabit yang tidak disewa.

Seorang kakitangan yang enggan dikenali memaklumkan tiada sebarang yayasan sedemikian beroperasi di kondominium terbabit dalam rekod mereka, selain tidak mengenali individu dikenali sebagai Aminullah Ahmad.

“Dalam rekod kami tiada tetapi mungkin ia didaftarkan atas nama individu dan kemungkinan aktiviti sedemikian dijalankan oleh penyewa atau pemilik unit kediaman di sini, kami tidak pasti.

“Pernah juga ternampak sekumpulan individu berpakaian serba putih dengan memakai baju, seluar dan kasut putih di sini tetapi tidak pasti sama ada mereka pengikut ajaran sesat berkenaan atau bukan,” katanya memetik laporan Berita Harian (BH) di sini, hari ini.

Dia berkata, pihak berkuasa ada datang kepada mereka untuk bertanyakan maklumat berkaitan perkara itu, semalam bagaimanapun enggan mendedahkan butirannya.

Selain itu, nombor telefon yang disertakan pada poster berkenaan namun kedua-duanya tidak dapat dihubungi dengan satu daripadanya tiada dalam perkhidmatan.

Sementara itu, Bukit Aman, hari ini memaklumkan pada peringkat ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih mengumpul maklumat lanjut berhubung kewujudan kumpulan ajaran sesat terbabit.

Semalam, media melaporkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bekerjasama dengan PDRM dan agensi berkaitan untuk melakukan siasatan dan tindakan susulan terhadap kegiatan kumpulan Hadi Minallah.

Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail, dipetik berkata siasatan itu berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559).

Beliau berkata, sebarang usaha menyebarkan ajaran yang bercanggah dengan akidah Islam haruslah dibanteras habis-habisan.

Terdahulu, tular satu video memaparkan tindakan beberapa wanita berniqab memeluk dan mencium tangan seorang lelaki dipercayai pengasas ajaran itu dalam satu majlis di sebuah pulau di utara tanah air.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here