Market Day Brainy Bunch 2022 meriah, Malakat Mall penuh sesak

0
15
Pelajar Brainy Bunch seawal 5 tahun diberi peluang menjaga gerai jualan pada Market Day Brainy Bunch 2022 di Malakat Mall, hari ini.

CYBERJAYA – Program Market Day Brainy Bunch 2022 di Malakat Mall hari ini berjaya mencapai matlamatnya dalam mendedahkan para pelajar dengan dunia perniagaan dalam situasi sebenar.

Berlangsung sejak pukul 10 pagi, pusat beli belah itu dipenuhi dengan ribuan pengunjung yang terdiri daripada ibu bapa pelajar pusat bimbingan kanak-kanak itu dan orang ramai.

Dianggarkan sebanyak enam ribu pengunjung hadir ke Malakat Mall sehingga pukul tiga petang tadi.

Selain jualan barangan, pelajar turut didedahkan dengan jualan perkhidmatan seperti servis fotografi.

Pengasas Brainy Bunch, Mohd. Fadzil Hashim berkata, program ini juga merupakan sebuah program amal dengan sebahagian jualan disalurkan ke Yayasan Brainy Bunch termasuk ke sebuah sekolah Brainy Bunch yang beroperasi di Gaza, Palestin.

“Program ini dilaksanakan dengan tujuan memberi pendedahan kepada pelajar Brainy Bunch seawal umur lima dan enam tahun menjalankan perniagaan.

Antara gerai yang menjadi tumpuan adalah gerai ‘sand painting’.

“Ada yang menjual barangan, buka gerai permainan dan juga perkhidmatan. Pendedahan yang diadakan di dalam sebuah mall sebenar ini baik untuk mereka memahami konsep perniagaan,” kata Mohd. Fadzil yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil, hari ini.

Tambahnya, kali terakhir program ini dilaksanakan adalah pada 2019, tetapi terpaksa ditangguhkan pada tahun 2020 dan 2021 berikutan pandemik Covid-19.

“Alhamdulillah, penganjuran pada tahun ini adalah amat membanggakan kerana saya nampak penglibatan para ibu bapa dan kampus berada pada tahap yang tinggi,” katanya lagi.

Selain kanak-kanak daripada kampus di sekitar Lembah Klang, program hari ini turut melibatkan penyertaan kampus dari Negeri Sembilan dan Melaka.

“Terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan program ini,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here