Menghendap secara maya berulang kali satu jenayah dalam pindaan Akta 574

0
69
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Perbuatan mengendap di alam siber secara berulang kali akan menjadi satu jenayah menurut Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022, Akta Kanun Keseksaan (Akta 574).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata walaupun perbuatan menghendap secara maya tidak membabitkan sentuhan atau mendatangkan kecederaan, tetapi ia boleh mengganggu mental dan emosi mangsa.

“Sebagai contoh, berlaku insiden A telah berpisah dengan B, namun B sering mengganggu A dengan pelbagai mesej dan sebagainya.

“Apabila A tukar nombor telefon, B masih lagi menghubungi A di media sosial dengan mengubah pelbagai nama samaran sehingga ada sampai 10 ke 20 akaun (media sosial) hanya untuk memastikan hidup A tidak tenteram.

“Apabila (mangsa) pergi ke balai polis untuk membuat laporan, polis tidak boleh ambil tindakan… sebab tidak mendatangkan kecederaan kepada mangsa. Sebab itu (ada) mangsa yang sampai berhenti kerja dan sanggup keluar negara kerana khuatir diekori lagi,” katanya kepada Bernama hari ini.

Justeru Mas Ermieyati berkata adalah penting dan tepat pada masanya untuk meluluskan rang undang-undang ‘anti menghendap’ itu untuk melindungi mangsa secara menyeluruh dan bukan hanya daripada yang mendatangkan kecederaan semata-mata.


“… kalau tidak ada satu undang-undang yang benar-benar melindungi mangsa, saya khuatir akan (berlaku) lebih banyak (kes menghendap) sehingga mendatangkan kecederaan (pada masa akan datang),” katanya.


Sementara itu Mas Ermieyati berkata beliau juga optimis rang undang-undang yang dijangka akan dibacakan kali kedua dan ketiga pada Mesyuarat Ketiga mulai Oktober depan itu, akan diluluskan di Parlimen pada hujung tahun ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here