Menteri arah siasatan kes KPPA – Imigresen

0
152
Hamzah Zainudin

PETALING JAYA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengesahkan kejadian tular membabitkan pegawai tertinggi kerajaan dengan seorang pegawai imigresen, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) seperti yang tular sejak malam tadi.

Bagaimanapun, ketika ditanya apa sebenarnya yang berlaku, Hamzah mengakui tidak tahu punca sebenar, namun sudah memberi arahan kepada Jabatan Imigresen supaya menjalankan siasatan dalaman susulan kejadian itu.

Beliau juga sudah memanggil Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud untuk mendapatkan gambaran jelas mengenai kejadian yang tular itu.

“Tetapi, siasatan secara dalaman akan saya lakukan, sudah tentu (akan jalankan siasatan) sebab ada video semua, jadi tak boleh nak lari.

“Kalau betul ia berlaku saya akan jelaskan nanti. Puncanya saya tak tahu tetapi adalah berita-berita yang disampaikan kepada saya dan minta jalankan siasatan dengan lebih mendalam.

“Ia supaya kita dapat berita yang lebih jelas apa yang sebenarnya berlaku, sudah tentu (siasatan akan dijalankan oleh ketua pengarah imigresen). Sebab itu saya panggil beliau untuk buat siasatan dengan lebih jelas,” katanya menurut Berita Harian.

Mengenai pegawai imigresen yang didakwa terbabit kejadian dengan pegawai tertinggi kerajaan itu, Hamzah berkata, beliau mengenali pegawai imigresen itu sebagai “seorang yang baik”.

“Saya harap kejadian yang tular itu tidak disebarkan tanpa mendapatkan gambaran dan maklumat yang betul bagi mengelak ia merosakkan imej pihak tertentu,” katanya.

Terdahulu, Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) menuntut ketua pengarah perkhidmatan awam membuat permohonan maaf terbuka susulan dakwaan tindakan menengking dengan kata kesat terhadap pegawai imigresen, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Presiden KPISM Khairil Niza Khairuddin, berkata kejadian itu berlaku hari ini, antara 8.40 pagi hingga 9.40 pagi, di Balai Berlepas, KLIA.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here