Naib Presiden MUSA dilantik sebagai Setiausaha Agung FAM baharu

0
6
Noor Azman Rahman

CYBERJAYA – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini melantik Naib Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), Noor Azman Rahman sebagai setiausaha agungnya yang baharu berkuat kuasa 1 September ini.

Menurut FAM, pelantikan itu dibuat bagi mengisi kekosongan ditinggalkan oleh Mohd Saifuddin Abu Bakar.

“Pada 23 Ogos lalu, Jawatankuasa Eksekutif FAM pada mesyuarat khas kali kedua bagi penggal 2021-2025 telah menerima peletakan jawatan Mohd Saifuddin kerana beliau mahu menumpukan kerjayanya ke peringkat antarabangsa.

“Noor Azman, 55, ketika ini bertugas sebagai Koordinator Presiden FAM sejak tahun 2018 apabila Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin dipilih sebagai Presiden FAM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut FAM lagi, Noor Azman pernah dipilih sebagai Naib Presiden MUSA pada 2012 sebelum beliau dilantik sebagai Setiausaha Agung MUSA selama tiga tahun dari 2015 hingga 2018.

Katanya, pada pemilihan MUSA bagi penggal 2020-2023, Noor Azman sekali lagi telah terpilih sebagai salah seorang Naib Presiden MUSA.

“Selain pengalaman luas bersama MUSA dan tugasannya selaku Koordinator Presiden FAM, beliau juga pernah terlibat dengan beberapa jawatankuasa tetap FAM, antaranya sebagai Ahli Jawatankuasa Media FAM (2010-2013), Ahli Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM (2014-2018) serta Ahli Jawatankuasa Pertandingan FAM (2018-2019).

“Dalam pengurusan pasukan pula, Noor Azman pernah menjadi pengurus pasukan Liga FAM Melaka pada 2013, penolong pengurus pasukan Liga FAM Melaka pada 2014 serta penolong pengurus pasukan futsal kebangsaan dari 2014 hingga 2017,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here