Najib hilang kerusi Pekan dalam 14 hari

0
84
Tan Sri Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak akan kehilangan kelayakan sebagai Ahli Parlimen Pekan secara automatik selepas 14 hari, bermula hari ini jika tiada sebarang prosedur mahkamah lain atau pengampunan diraja diterima dalam tempoh berkenaan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, ia selaras Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan seseorang individu akan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen jika disabit kesalahan dan dihukum penjara lebih setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 ribu ringgit serta dia tidak mendapat pengampunan bebas.

Ketika ini, katanya, Parlimen perlu menunggu notis rasmi daripada Mahkamah Persekutuan yang memaklumkan mengenai hukuman yang dijatuhkan kepada bekas Perdana Menteri itu.

“Sekarang sudah tiada lagi rayuan kerana hukuman diputuskan di Mahkamah Persekutuan, namun Perkara 48(4)(b) juga ada menyebut jika ada apa-apa prosiding mahkamah lain, maka kedudukan Najib kekal sehingga prosiding itu selesai.

“Saya perlu meneliti dahulu sama ada prosiding itu termasuk semakan, kerana proses semakan ini ada dalam tatacara mahkamah.

“Jika termasuk dan Najib memfailkan semakan itu dalam 14 hari, maka kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Pekan kekal sehingga prosiding semakan tamat.

“Pada masa sama, Perkara 48 juga peruntukkan jika dalam 14 hari terdapat permohonan untuk pengampunan diraja, maka kedudukannya kekal sehingga proses pengampunan selesai,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah.

Ditanya bila Parlimen akan menerima notis daripada Mahkamah Persekutuan mengenai hukuman terhadap Najib daripada, Azhar Azizan memaklumkan kebiasannya ia akan dilaksanakan secepat mungkin.

Berhubung pemakluman mengenai pengesahan bahawa kerusi Parlimen Pekan dikosongkan, Azhar Azizan memaklumkan beliau akan membuat pemakluman itu jika Najib tidak memfailkan semakan, prosiding lain atau permohonan pengampunan dalam tempoh 14 hari.

“Saya kena tunggu 14 hari, bermula hari ini. Jika semua yang diperuntukkan dalam Perlembagaan tidak dilaksanakan dalam tempoh itu, barulah saya akan membuat keputusan (mengenai pengosongan kerusi Parlimen Pekan),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here