Negara kerugian RM560 juta akibat jenayah siber tahun lalu

0
6
GAMBAR HIASAN

KOTA KINABALU – Negara kerugian RM560 juta akibat lebih 20,000 kes jenayah siber pada tahun lalu.

Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, kes direkodkan itu antara lain membabitkan buli siber, pemalsuan, pencerobohan, memancing data dan penipuan e-mel yang dilihat semakin meningkat saban tahun.

Berdasarkan rekod semasa, kira-kira 13,000 kes jenayah siber dengan kerugian RM539 juta dicatatkan pada 2019, namun tidak memberikan angka untuk 2020.

“Menjelang 2025, ekonomi digital dijangka menyumbang kira-kira 22.6% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Oleh itu dalam usaha membangunkan diri sebagai sebuah negara yang dipacu ekonomi digital, kita perlu mengenal pasti ancaman yang berpotensi mendatangkan gangguan kepada sasaran penting dan sektor ekonomi secara amnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Sasaran Penting Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 mewakili Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.

Sasaran penting merujuk kepada pemasangan yang hasil keluaran atau perkhidmatannya sangat penting dan sekiranya musnah atau rosak akan menyebabkan kerugian amat besar kepada ekonomi serta pertahanan negara atau menjejaskan fungsi kerajaan dan imej negara.

Abdul Halim berkata, keperluan untuk memperoleh ruang siber yang selamat dan terjamin pada hari ini amat penting untuk meningkatkan agenda keselamatan siber bagi kepentingan sasaran penting di negara ini.

“Adalah penting bagi pemilik atau penghuni sasaran penting untuk sentiasa memberi tumpuan dan perhatian agar keselamatan maklumat sentiasa terjaga selain diberi kawalan keselamatan sewajarnya agar tidak berlaku sebarang kebocoran maklumat lebih-lebih dari dalam instalasi itu sendiri,” katanya.

Menurutnya, keselamatan siber yang kukuh juga penting ketika Malaysia menuju Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) kerana era itu bergantung sepenuhnya kepada teknologi digital dan sebarang isu melibatkan keselamatannya bakal memberi kesan terhadap kerajaan, ekonomi, sosial dan masyarakat.

“Ketika kita bergerak ke hadapan serta hidup dengan teknologi dengan bandar pintar sedang dibina dan misi data kritikal dihantar ke pangkalan data menggunakan internet, isu keselamatan siber perlu diletakkan di barisan hadapan di keseluruhan ekosistem digital,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here