Negara masih kekurangan 4,732 guru di sekolah luar bandar

0
41
Mohamad Alamin

CYBERJAYA – Kerajaan memerlukan 4,732 orang guru bagi mengisi kekosongan jawatan di sekolah-sekolah di kawasan luar bandar.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin berkata, jumlah tersebut berdasarkan data Kementerian Pendidikan (KPM) yang dikumpul setakat 31 Julai 2022.

“Secara keseluruhan terdapat 110,000 guru temasuklah 5,944 guru dipilih menerusi pengambilan khas secara ‘one-off’ telah ditempatkan di sekolah luar bandar.

“Antara faktor yang menyumbang kepada kekurangan guru di sekolah termasuk sekolah di luar bandar adalah kerana kekurangan bekalan guru,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Alamin memaklumkan KPM telah melaksanakan beberapa pendekatan dalam menangani isu kekurangan guru.

“Antara adalah KPM telah menubuhkan jawatankuasa pengambilan dan penempatan guru KPM, melaksanakan pengurusan pengambilan guru secara ‘one-off’ pada tahun 2021.

“KPM juga telah melaksanakan urusan penempatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) DG41 2022 selepas menerima calon PPP yang dilantik Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) serta melaksanakan pertukaran guru sebanyak empat kali setahun bagi memudahkan guru mengisi kekurangan guru di luar bandar,” ujarnya.

Katanya, KPM sentiasa memberi perhatian terhadap pengisian guru di sekolah KPM seluruh negara termasuk di luar bandar bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran di sekolah dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Jefridin Atan yang menyatakan apakah kekangan paling nyata yang menjadi punca kekurangan guru di sekolah luar bandar dan apakah inisiatif proaktif jangka masa pendek dan panjang kerajaan dalam menangani masalah tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here