Operasi tunda kenderaan di MAHA dihentikan serta merta

0
45
Orang ramai di pintu masuk salah satu dewan pameran di MAHA, semalam.

SERDANG – Operasi tunda kenderaan pengunjung di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) di sini yang menerima kecaman orang ramai di media sosial dihentikan serta merta.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam satu kenyataan berkata, penguatkuasaan operasi itu dilaksanakan untuk memastikan aliran trafik berjalan lancar tetapi terpaksa dihentikan atas sebab-sebab yang telah dipertimbangkan.

“Operasi tunda kereta dibuat bagi memastikan aliran trafik dan lalu lintas berjalan dengan lancar dan efisien.

“Ia juga untuk membantu kelancaran sistem parkir di setiap kawasan parkir dalam MAEPS bagi mengelakkan aliran trafik menjadi sesak apabila terdapat kenderaan yang menghalang kenderaan lain.

“Bagaimanapun MAFI telah mengarahkan pihak pengurusan acara MAHA 2022 untuk menghentikan semua operasi tunda kereta di MAEPS, Serdang sepanjang penganjuran MAHA 2022 berkuat kuasa serta merta,” kata kenyataan itu.

MAFI berkata, tindakan itu diharap akan dapat memberi kemudahan, keselesaan dan keselamatan para pengunjung, petugas dan para media sepanjang penganjuran MAHA di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Dalam pada itu, sebanyak 5,000 ruang letak kenderaan disediakan di Laman Tiba 1 dan 3,500 di Laman Tiba 2 untuk kegunaan pengunjung.

Semalam, segelintir pengunjung ekspo itu berkongsikan kekecewaan terhadap pengurusan parking acara itu ekoran tindakan tunda dan denda yang dikenakan.

Tindakan itu disifatkan tidak bertimbang rasa memandangkan keadaan parkir yang sesak dan kedudukan tapak parkir yang jauh dari loksi pameran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here