Pasca Covid-19: Cukai tinggi ‘bunuh’ industri pelancongan negara 

0
28
Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya Rang membahaskan Undang-undang (RUU) Cukai Pelancongan (Pindaan) 2022 di Dewan Negara hari ini.

KUALA LUMPUR – Usaha dalam memerangi Covid-19 telah banyak memberi kesan terhadap sektor ekonomi dan antara sektor yang sangat terkesan adalah sektor pelancongan negara.

Menurut Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya, sebagai contoh cukai taman tema atau ‘theme park’ yang dikenakan sangat tinggi hingga mencecah sebanyak 25 peratus dan bersamaan dengan cukai kelab malam.

Beliau mempersoalkan adakah wajar untuk mengenakan cukai setinggi itu sedangkan taman tema merupakan tempat riadah bersama keluarga.

“Oleh itu, saya ingin mencadangkan agar cukai taman tema ini hanya dikenakan cukai sebanyak 10 peratus sahaja untuk membantu sektor pelancongan domestik dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Cukai Pelancongan (Pindaan) 2022 di Dewan Negara hari ini.

Mengulas lanjut, beliau juga mencadangkan beberapa langkah yang boleh diambil bagi memastikan industri pelancongan lebih kalis dan mudah beradaptasi kepada situasi semasa.

Antaranya, katanya, setiap pindaan yang dirancang haruslah dibawa berbincang dengan pemain industri pelancongan utama seperti Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM), Persatuan Hotel-hotel di Malaysia (MAH) dan sebagainya.

Tambahnya lagi, 50 peratus daripada hasil kutipan cukai pelancongan itu haruslah diagih kembali kepada setiap negeri.

Katanya, tujuan utama pindaan RUI itu antara lain bertujuan memberi Menteri Kewangan kuasa untuk menetapkan butir-butir dalam invois atau resit di bawah akta itu.

“Pindaan ini membolehkan tempoh masa penghantaran cukai penyata pelancongan dilanjutkan untuk suatu tempoh tertentu.

“Dengan adanya peruntukan baru ini, sekiranya berlaku insiden atau peristiwa kecemasan atau krisis kesihatan awam pada masa akan datang, menteri boleh melanjutkan tempoh tersebut melalui pengumuman rasmi atau arahan kepada ketua pengarah,” ujarnya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here