PBT tidak perlu campur urusan sijil halal – Menteri Agama

0
25
Idris Ahmad

BUKIT GANTANG – Tiada keperluan bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk campur tangan dalam urusan pengeluaran sijil halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata ini kerana kuasa mengeluarkan sijil halal adalah lebih baik dikendalikan pihak Jakim sahaja.

Katanya lagi, perkara itu juga dapat mengelakkan daripada kekeliruan bidang kuasa dalam urusan membabitkan pensijilan halal sekiranya ia dikendalikan lebih daripada satu pihak.

“PBT selesai masalah lain, masalah lesen, bukan masalah halal. Halal itu ada bidang lain, sama juga macam kerana hendak ambil tindakan, kalau perkara itu kata kita lapor kata seseorang itu ada label halal, tiba-tiba dia buat kerja tidak halal, nak ambil tindakan itu adalah daripada pihak Kementerian Hal Ehwal Pengguna.

“Dia ambil tindakan, dia ada kuasa nak ambil tindakan. Jakim tidak ada kuasa nak ambil tindakan,” katanya memetik laporan Astro Awani hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Jualan Amal di Markaz Pas Sungai Tinggi, Trong pada Ahad.

Idris diminta mengulas saranan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) supaya Jakim dan PBT dapat membuat penyelarasan dan menetapkan prosedur yang lebih mudah bagi membantu perusahaan mikro dan kecil (PMK) memperoleh sijil halal.

Dalam pada itu, idris berkata kuasa Jakim mengeluarkan sijil halal juga sudah diperakui di seluruh dunia termasuk dalam kalangan negara-negara Islam lain.

Malah katanya, sijil halal Jakim juga sangat mudah diperoleh dan diluluskan sekiranya pemohon mematuhi piawaian yang ditetapkan.

Jelasnya lagi, di peringkat negeri pula telah ditetapkan kuasa yang sama sebagaimana termaktub di bawah bidang kuasa Jabatan Halal, Jabatan Agama negeri-negeri.

Oleh itu tegas beliau, tidak perlu ada pihak lain termasuk PBT untuk menjalankan bidang kuasa iaitu berkaitan sijil halal yang bukan di bawah bidang kuasa mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here