Peguam Najib mahu tarik diri jika mahkamah tetap mahu teruskan bicara pada 15 Ogos

0
36
Datuk Seri Najib Razak

PUTRAJAYA- Pasukan peguam yang baharu dilantik mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak bagi rayuan terakhir dalam kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd, hari ini memberitahu Mahkamah Persekutuan mereka akan menarik diri sekiranya mahkamah tetap akan terus mendengar rayuan itu minggu depan.

Memetik laporan Bernama, peguam daripada Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) dan Tetuan Hisyam Teh, tidak bersedia untuk meneruskan rayuan berkenaan kerana ia membabitkan isu penting dan memerlukan masa untuk persediaan kerana ia bukan rayuan biasa.

Oleh itu, jika mahkamah tetap mahu prosiding rayuan utama diteruskan pada Isnin ini, peguam terbabit tidak mempunyai pilihan selain menarik diri daripada mewakili bekas perdana menteri itu.

Difahamkan, perkara itu dimaklumkan kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Wan Fatimah Zahara Wan Yusoff dan Siti Hajar Mustaffa semasa pengurusan kes di hadapan mereka yang dijalankan secara dalam talian hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram dan Mohd Ashrof Adrin Kamarul bertindak bagi pihak responden (Pendakwa Raya), manakala peguam Hisyam Teh Poh Teik, Liew Teck Huat dan M Rueben mewakili Najib (perayu).

Pada 26 Julai lalu, Najib memberhentikan dengan serta-merta Tetuan Shafee & Co daripada bertindak sebagai peguam yang mewakilinya dalam rayuan sabitan dan hukuman membabitkan RM42 juta dana SRC International.

Bagaimanapun, Najib berkata bekas peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akan terus bertindak sebagai peguam cara dalam kes lain yang dihadapinya di mahkamah.

Najib kemudian melantik Hisyam daripada Tetuan Hisyam Teh sebagai peguam utamanya, manakala rakan kongsi ZIST, Liew dan Rueben sebagai peguam baharunya.

Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari mulai 15 Ogos untuk mendengar rayuan terakhir Ahli Parlimen Pekan itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara atas penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Hari ini, media juga dimaklumkan pendengaran usul untuk mengemukakan bukti baharu akan didengar terlebih dulu pada Isnin dan jika usul itu ditolak, mahkamah akan terus mendengar rayuan utama.

Bagaimanapun, media diberitahu peguam Najib akan membuat permohonan lisan di mahkamah untuk menangguhkan rayuan utama selepas selesai hujah bagi usul bagi memasukkan bukti baharu dan menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan.

Pada Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib selepas mendapatinya bersalah menyalahgunakan RM42 juta daripada dana SRC.

Kes itu di peringkat rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan pada tahun lepas, mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan bekas perdana menteri itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here