Pelajar 12A SPM, hafal 30 juzuk antara penerima biasiswa Yayasan Felda

0
133
Pelajar-pelajar tajaan Yayasan Felda bergambar bersama wakil Kumpulan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) dan Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU) di sini, hari ini. Kredit foto – Najmi Zulkefle.

KUALA LUMPUR – 13 pelajar cemerlang peneroka dan anak-anak kakitangan Kumpulan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) menerima tajaan biasiswa bernilai RM1.5 juta di sini, hari ini.

Menurut salah seorang penerima biasawa berkenaan, Adham Muqriz Jazlan, 18, dia berasa bersyukur kerana telah dipilih untuk melanjutkan pelajaran ke salah satu universiti persendirian terbaik di Malaysia.

“Alhamdulillah, bersyukur sebab Yayasan Felda bagi peluang untuk sambung belajar di salah sebuah universiti persendirian terbaik di Malaysia,” katanya.

Dia yang telah memperoleh 12A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu sudah menghafal 30 juzuk Al-Quran dan bercita-cita untuk membantu generasi Felda.

“Lepas belajar saya nak bina syarikat sendiri untuk bantu orang Felda terutamanya dalam bidang teknologi,” ujarnya lagi.

Ditanya mengenai cara dia membahagikan masa antara hafalan Al-Quran dengan pelajaran akademik, dia berkata, sudah menjadi kebiasaan buatnya untuk sentiasa fokus dalam pelajaran dan hafalanya.

Penerima biasawa Yayasan Felda, Adham Muqriz Jazlan, 18. Kredit foto – Najmi Zulkefle

“Kalau untuk fokus dalam pelajaran tu sudah biasa sebab waktu menghafal Al-Quran kami memang kena fokus jadi tiada masalah untuk seimbangkan,” katanya kepada Malakat Tribune di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusoh; Pengurus Besar Yayasan Felda, Datuk Mohd Banuri Aris; Pengarah Eksekutif APU, Mohd Helmy Norman dan Ketua Pegawai Eksekutif APU, Datuk Parmjit Singh.

Selain itu, Idris Jusoh berkata, inisiatif ini seiring dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) melalui pendedahan realiti dan praktikal untuk melahirkan modal insan yang cemerlang dengan asas pendidikan digital.

“Dengan termeterainya MoU ini, saya yakin dan percaya aspirasi pendidikan generasi
baharu Felda diperkasakan seiring penguasaan digital yang akan menjadi penggerak masa hadapan yang lebih maju.

Beliau berkata demikian dalam Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan Felda dengan Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU) bagi program pendidikan Global Digital Leadership (GDL).

Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusoh (dua dari kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif APU, Datuk Parmjit Singh (dua dari kanan) bergambar dalam majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan Felda dengan Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU) bagi program pendidikan Global Digital Leadership (GDL) di sini, hari ini. Kredito foto – Najmi Zulkefle.

Mengulas lanjut, Parmjit Singh berkata, peranan APU bukan sahaja berfokuskan kepada akademik semata-mata malah lebih daripada itu.

“Peranan universiti bukan hanya berfokuskan kepada akademik tapi untuk mengubah seorang murid sekolah menjadi seorang yang professional,” katanya.

Beliau juga berharap kerjasama antara APU dan Felda akan berterusan di masa akan datang dengan lebih banyak peluang kerjasama akan dilakukan.

Untuk rekod, Program GDL ini menawarkan 18 kursus berasaskan teknologi seperti Teknologi Maklumat (IT), System Security, Cloud Engineering, Network Computing, Mobile Technology, Internet of Things (loT), Digital Transformation, Financial Technology (FinTech), Business Information Systems, Software Engineering, Computer Science, Data Analytics, Digital Forensics, Cyber Security, Intelligent Systems, Multimedia Technology, VR/AR dan Computer Games Development.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here