Pelaksanaan waktu kerja 45 jam seminggu ditangguhkan?

0
324
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Pelaksanaan pengurangan waktu kerja daripada 48 jam kepada 45 jam seminggu dijangka akan ditangguhkan.

Laporan akhbar Sinchew Daily menyebut, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan bersetuju dengan penangguhan tersebut setelah mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil industri dan perniagaan, baru-baru ini.

“Walaupun penetapan-penetapan lain akan dilaksanakan mengikut jadual, tetapi pengurangan waktu kerja dari 48 jam kepada 45 jam tidak akan bermula 1 September.

“Walau bagaimanapun, kami tidak pasti bilakah tarikh pelaksanaan sebenarnya selepas penangguhan,” kata satu sumber kepada akhbar tersebut.

Sebelum ini, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia atau MEF telah meminta kerajaan menangguhkan pelaksanaan pengurangan waktu kerja, yang pada asalnya dijadual dilaksanakan mulai 1 September.

Langkah-langkah lain yang sepatutnya dilaksanakan bermula tarikh tersebut termasuk menaikkan kelayakan pembayaran kerja lebih masa untuk mereka yang bergaji antara RM1,500 (gaji minimum) hingga RM4,000 berbanding RM2,000 sebelum inI.

Pindaan Akta Kerja juga memperuntukkan cuti bersalin ditingkatkan dari 60 hari kepada 98 hari sementara bapa boleh menikmati cuti tujuh hari.

MEF bagaimanapun berpendapat bahawa langkah-langkah yang diumumkan akan menambahkan kos yang besar untuk syarikat.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana, Ding Dong Sing pula berpendapat, pindaan Akta Kerja akan merugikan semua pihak.

Beliau berkata, daya produktiviti kilang akan berkurangan, kos meningkat, hasil cukai berkurangan dan harga produk akan menjadi mahal.

Katanya kepada Sinchew Daily, pengurangan waktu kerja dan pertambahan cuti bersalin bermaksud pengusaha terpaksa menggaji lebih banyak pekerja.

Ujarnya, kos yang tinggi akan menjejaskan hasil syarikat seterusnya memberi impak kepada sasaran kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here