Pemakaian pelitup muka di tempat tertutup akan diteliti semula

0
7
GAMBAR HIASAN

PUTRAJAYA – Keputusan mengenai pemansuhan pemakaian pelitup muka di tempat tertutup akan diteliti dan diputuskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya telah meminta pandangan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali, mengenai keperluan pemakaian pelitup muka sekiranya situasi Covid-19 beransur pulih.

“Dia (Dr. Noor Azmi) mengatakan pihaknya akan melihat perkara terbabit dengan lebih terperinci. Tindakan ini bukan kerana Singapura buat, maka Malaysia kena buat,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat MPN, di sini hari ini.

Sebelum ini, laporan media menyebut Singapura memansuhkan syarat pemakaian pelitup muka mulai hari ini kecuali dalam pengangkutan awam dan kemudahan kesihatan memandangkan situasi penularan pandemik Covid-19 di republik itu semakin stabil.

Muhyiddin berkata, beliau berpandangan bahawa pemakaian pelitup muka adalah langkah terbaik untuk memastikan diri seseorang itu tidak dijangkiti Covid-19 malah menjadi kebiasaan rakyat negara ini setelah dua tahun berhadapan dengan situasi pandemik.

“Saya fikir sekarang ini pemakaian pelitup muka sudah menjadi kebiasaan baharu rakyat Malaysia, bukan paksaan. Kalau sudah sampai masanya tidak perlu pakai (pelitup muka), rakyat boleh pakai kalau mahu rasa lebih selamat,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here