Pemilik video TikTok ‘Malakat Mall Kosong’ teruja pusat beli belah itu meriah semula 

0
211
Muhammad Aqlan Mohammad, hadir ke Malakat Mall untuk meninjau suasana di sini, hari ini.

CYBERJAYA – Baru-baru ini tular satu video yang memaparkan pusat beli belah kosong, namun kunjungan kali kedua pemilik video berkenaan mendapati suasana di Malakat Mall berubah dan meriah dengan pengunjung pada hujung minggu.

Menurut pemilik video berkenaan, Muhammad Aqlan Mohammad, suasana di Malakat Mall pada hujung minggu meriah dengan kehadiran pengunjung dan peniaga-peniaga kecil.

“Alhamdulillah hari ini bila saya tengok parkir kenderaan dah nampak banyak kereta dan bila saya masuk ramai orang tengah makan, beli barang di Malakat Grocer” katanya kepada Malakat Tribune di sini, hari ini.

Dia yang juga bekerja sebagai pelatih perniagaan atau ‘business trainer’ berkata, kebanyakan barang di Malakat Mall juga berkualiti namun boleh diperbaiki di masa hadapan.

“Barang-barang yang dijual di sini bukanlah nak kata tiada kualiti atau tak cantik sebenarnya cantik dan bagus cuma mungkin ada ruang yang boleh diperbaiki lagi,” ujarnya lagi.

Tambahnya lagi, dia berharap agar orang ramai untuk terus menyokong Malakat Mall kerana terlalu banyak usaha yang telah diberikan untuk membina pusat beli belah berkenaan.

Dalam lawatannya itu, dia juga sempat meluangkan masa berbual selama dua jam bersama Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim.

Muhammad Aqlan Mohammad meluangkan masa berbual dengan Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim di sini, hari ini.

Di samping itu, tinjauan Malakat Tribune mendapati rata-rata pengunjung juga berasa teruja membeli belah di sini dan ada di antaranya yang sanggup datang dari jauh.

Menurut Azman Teh, 63, dia yang datang dari Kluang, Johor ke Malakat Mall disebabkan niatnya untuk menyokong produk-produk Muslim yang dijual di sini.

“Isteri saya ajak saya datang ke sini dengan sebab dia ada nampak dekat Facebook dan kita pun ada semangat untuk sokong beli barangan Muslim di sini.

Pengunjung Malakat Mall, Azman Teh, 63.

“Barang-barang asas semua dah ada bagi kami sendiri senang la untuk beli barang basah hari ni,” katanya.

Dia yang juga pertama kali hadir ke Malakat Mall juga berkata, antara penambahbaikkan yang boleh dilakukan oleh Malakat Mall adalah dengan memperbanyakkan lagi pilihan produk.

“Saya ingat perbanyakkan produk dan apa yang saya nampak di sini tiada tempat yang tumpuan contoh macam McDonald’s untuk tarik lebih ramai orang,”jelasnya lagi.

Selain itu, berkongsi pengalamannya membeli-belah di Malakat Mall, Aishah Husna Khairul Anuar, 19, berkata, dia berasa selesa membeli belah di Malakat Mall.

Pengunjung Malakat Mall, Aishah Husna Khairul Anuar, 19.

“Saya datang dari Bangi dan setakat ni saya rasa kebanyakkan barang keperluan ada dijual di sini dan saya berasa selesa sepanjang beli belah dekat sini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here