Pendekatan sewa guna peranti kurangkan beban sekolah

0
21
Radzi bersama salah seorang pengetua daripada 25 buah sekolah yang menerima komputer riba dan peranti di bawah Projek Perkhidmatan Sewaan Perkakasan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Secara Sewa Guna, hari ini.

PUTRAJAYA – Pendekatan sewa guna (lease to use) bagi perolehan komputer riba dan peranti teknologi lain dapat mengurangkan beban pihak pentadbir sekolah terutamanya dalam urusan penyelenggaraan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Mat Jidin berkata Kementerian Pendidikan (KPM) mula melaksanakan pendekatan itu sejak awal tahun ini dan ia dilaksanakan dalam tiga fasa.

Radzi melihat sendiri pengoperasian kelas hibrid sewaktu mengunjungi SMK Putrajaya Presint 18(1), hari ini.

Fasa pertama melibatkan 3,910 sekolah di seluruh negara dengan hampir 90 peratus selesai dibekalkan dan dipasang peralatan teknologi.

Fasa kedua yang melibatkan 3,455 sekolah dijangka selesai pada awal 2023 manakala fasa ketiga dijangka tamat pada penghujung 2023 dengan 3,400 sekolah akan menerima manfaat.

“Pembekal akan baiki sekiranya berlaku kerosakan peranti dan ia dapat memberi satu kelegaan kepada sekolah di seluruh negara khususnya pentadbir sekolah untuk tangani masalah kerosakan komputer,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Transformasi Pendidikan: Pemerkasaan ICT di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 18(1), di sini hari ini.

Tambahnya, ketiga-tiga fasa tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM1.3 bilion manakala pembekalan peralatan dibuat secara pembahagian zon tertentu supaya vendor dapat membaik pulih peranti secara pantas sekiranya terdapat kerosakan.

Selain itu, beliau berkata KPM juga akan melaksanakan projek rintis kelas hibrid melibatkan 110 sekolah merangkumi 550 kelas dengan menyediakan infrastruktur capaian Internet berkelajuan tinggi dalam bilik darjah.

Dengan adanya kelas hibrid, sekolah berupaya mengatur pengajian silang dengan sekolah lain dan dapat mengukuhkan penyampaian pengajaran dan pembelajaran sedia ada.

“Kita dalam peringkat akhir proses pemilihan sekolah dan harap dapat dilaksanakan pada November depan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here