Pengumuman kerajaan beri kelegaan kepada 1.6 juta penjawat awam – CUEPACS

0
24
ADNAN

CYBERJAYA – Kesemua insentif yang diumumkan kerajaan hari ini mampu memberi kelegaan kepada 1.6 juta penjawat awam yang turut menghadapi peningkatan kos sara hidup dan kenaikan inflasi.

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat berkata, pihaknya memahami bahawa kerajaan mempunyai kekangan kewangan namun tetap cuba untuk mendengar dan memberi yang terbaik kepada penjawat awam demi menghargai sumbangan yang dicurahkan selama ini.

“Sebagai contoh pemberian Bantuan Khas Kewangan 2023 berjumlah RM700 kepada anggota Gred 56 ke bawah serta kenaikan gaji tahunan tambahan khas sebanyak RM100. Begitu juga dengan penambahbaikan pemberian pergerakan gaji tahunan kepada penjawat awam yang telah mencapai gaji maksimum.

“Ketiga-tiga insentif ini adalah satu penghargaan yang wajar diberikan di atas pencapaian produktiviti disumbangkan oleh penjawat awam kepada rakyat dan negara yang telah bertungkus lumus dalam memastikan penyampaian perkhidmatan berkesan,” kata Adnan dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Adnan pada masa yang sama turut berharap supaya para pejawat awam sentiasa menjaga produktiviti masing-masing dalam usaha menjadikan ekonomi negara bertambah kukuh dan kerajaan lebih berupaya meningkatkan kebajikan kepada seluruh warga perkhidmatan awam.

Beliau turut menyeru kerajaan supaya menyegerakan kajian ke atas Sistem Saraan Perkhidmatan Awam dengan mengambil kira keseluruhan aspek modal insan merangkumi saraan dan perkhidmatan, dan meningkatkan gaji minimum penjawat awam kepada RM1,800 sebulan.

“Hal ini wajar dipercepatkan memandangkan sistem saraan sedia ada yang digunakan ketika ini telah dilaksanakan sejak tahun 2002 dan tidak lagi sesuai dengan suasana persekitaran ekonomi serta kos sara hidup semasa,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here