Peninju Muay Thai warga Thailand maut dalam kejohanan di Kelantan

0
234
Kittichai Chaengkhao

KOTA BHARU – Seorang peninju Muay Thai warga Thailand maut dalam pertarungan Kejohanan Muay Thai Ambang Merdeka 2022 di Kampung Che Deris, Badang di sini semalam.

Mangsa, Mr. Kittichai Chaengkhao, 28, meninggal dunia kira-kira pukul 10.57 pagi semalam di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini akibat pendarahan dalam otak selepas hampir 10 jam dirawat di unit kecemasan hospital itu.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, mangsa yang menentang
peninju tempatan dipercayai telah tewas dan tidak sedarkan diri sebelum dia dibawa ke Klinik Kesihatan Badang di sini kira-kira pukul 1 pagi semalam.

“Mangsa bagaimanapun meninggal dunia di unit kecemasan HRPZ II kira-kira pukul 10.57 pagi akibat pendarahan dalam otak.

“Siasatan mendapati, mangsa yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Mayat mangsa telah dibawa ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Rantau Panjang sebelum diserahkan kepada waris pada pukul 8 malam semalam,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.


Menurut Muhamad Zaki, berdasarkan siasatan mangsa memasuki negara ini secara sah dengan mempunyai dokumen perjalanan yang diperakui.

Katanya, polis telah mengambil keterangan daripada pihak penganjur berhubungan kes tersebut dan mendapati pihak terbabit mempunyai permit untuk menganjurkan kejohanan Muay Thai itu.

Tambah Muhamad Zaki, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here