Penipuan haji: Pengarah agensi pelancongan mengaku tidak bersalah 

0
32
Polis mengiringi pengarah syarikat agensi pelancongan bagi menghadapi tuduhan menipu tawaran visa dan pakej haji yang tidak wujud di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. – Foto NSTP Anuar Rahim.

KUALA LUMPUR – Seorang pengarah agensi pelancongan mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengiklankan tawaran pakej haji furada tanpa lesen “Pengelola jemaah haji” yang sah di sini, hari ini.

Tertuduh, Agus Rizal Mat Ali, 50, didakwa di Mahkamah Sesyen dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Kamarudin Kamsun.

Berdasarkan pertuduhan, Agus Rizal sebagai pengarah syarikat UC Travel Sdn Bhd mengiklankan perkhidmatan pakej haji furada bagi musim 2022 Masihi / 1443 Hijrah dengan memuat naik di media sosial Facebook milik syarikat itu.

Tertuduh mengiklankan menjalankan atau membuat transaksi perniagaan sebagai pengelola perjalanan haji ke tanah suci bagi tujuan menunaikan haji.

Syarikat UC Travel Sdn Bhd bagaimanapun tidak mempunyai lesen pengelola jemaah haji secara sah daripada Lembaga Tabung Haji di pejabat cawangan UC Travel, Blok G, Platinum Walk, Jalan Langkawi 2, Danau Kota, pada 9 Mei 2022.

Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 27(1)(b) Akta Tabung Haji 1995 dan dihukum di bawah Seksyen 27(2) akta sama, yang boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Agus Rizal diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 September ini untuk sebutan semula kes.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Ishak, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Datuk Dhanaraj dan Ho Cheng En.

Terdahulu, media melaporkan lima individu ditahan berhubung kes penipuan haji furada yang menyebabkan kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here