Penjawat awam sambut baik pengumuman PM

0
134
Kakitangan awam hadir pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-16 di Putrajaya hari ini.

CYBERJAYA – Pengumuman beberapa inisiatif baharu oleh Perdana Menteri hari ini adalah bukti keprihatinan kerajaan terhadap kakitangan perkhidmatan awam dalam menangani keperluan semasa termasuk isu kenaikan kos sara hidup.

Khabar gembira itu nyata sekali memberi kelegaan kepada penjawat awam di seluruh negara sekaligus memberi dorongan untuk berkhidmat dengan lebih efisien dan berkesan.

Pegawai Penerbitan Agensi Nuklear Malaysia, Wan Jazlina Wan Ahmat berkata, pertambahan bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) sebanyak RM100 yang akan dilaksanakan tahun depan itu dibuat dengan asas yang relevan bertepatan dengan kenaikan harga barang ketika ini.

“Golongan penjawat awam tidak boleh terlepas daripada menerima satu bentuk kebajikan atau penambahbaikan baharu kerana kumpulan ini bertindak sebagai pemudah cara antara Kerajaan dan rakyat dalam memastikan negara kembali pulih selepas pandemik Covid-19.

“Semestinya pelaksanaan ini sangat ditunggu-tunggu oleh semua penjawat awam,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.

Wan Jazlina Wan Ahmat

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-16 hari ini mengumumkan beberapa inisiatif kepada penjawat awam antaranya tambahan khas KGT sebanyak RM100 kepada penjawat awam Gred 11 hingga Gred 56.

Peruntukan itu melibatkan kira-kira 1.28 juta penjawat awam dengan implikasi kewangan RM1.5 bilion.

Ismail Sabri turut mengumumkan kenaikan kadar maksimum jumlah cuti rehat yang boleh dikumpulkan bagi tujuan penganugerahan wang tunai (GCR) daripada 160 hari ke 180 hari.

Kenaikan kadar maksimum GCR ini membolehkan cuti disimpan bagi tujuan penganugerahan wang tunai semasa persaraan sekali gus meningkatkan tunai di tangan pada hari persaraan.

Vicnaraja a/l Chandran

Bagi Penolong Pegawai Penerangan, Vicnaraja a/l Chandran, selain pemberian KGT yang tepat pada masanya, pemberian khas RM700 pula menjadi menyuntik semangat kepada penjawat awam untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan negara.

Pegawai Tadbir dan Diplomatik, Christopher Grenaga Paul Mpadai pula berkata, pengumuman oleh Perdana Menteri itu juga membuktikan komitmen berterusan kerajaan untuk meningkatkan prestasi perkhidmatan awam walaupun berdepan dengan kekangan kewangan.

“Ini satu kelegaan untuk kami anggota perkhidmatan awam lebih-lebih lagi pengumuman mengenai bayaran KGT tambahan khas dan beberapa penambahbaikan lain seperti perluasan tafsiran dalam Cuti Tanpa Rekod dan Pergerakan Gaji Tahunan.

“Inisiatif dan aspek kebajikan seumpama ini tentunya memberi banyak manfaat dan kebaikan kepada semua,” katanya.

Christopher Grenaga Paul Mpadai
Asmidar Zainol

Pegawai Penerangan, Jabatan Penerangan Malaysia, Sabah, Asmidar Zainol berkata, berita baik ini adalah usaha berterusan kerajaan menaik taraf skim penggajian kakitangan awam setanding dengan negara maju.

“Ini tidak boleh dilihat sebagai imbuhan tetapi ia adalah kepatutan dalam sistem perkhidmatan kerajaan yang peka terhadap keperluan warga kerjanya,” katanya.

Sementara itu, guru Sekolah Kebangsaan Dato’ Sri Syed Ahmad, Kedah, FaridatulMuna Darus berkata, inisiatif tambahan kadar Cuti Rehat Khas 15 hari kepada para guru juga membuktikan kerajaan prihatin terhadap keperluan cuti untuk urusan mustahak dan kecemasan.

“Penambahbaikan ini amat membantu kami para guru dalam menguruskan segala urusan berkaitan dan memberikan kebaikan jangka masa panjang kepada para guru dan juga semua,” katanya.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Badlishah, Kulim, Kedah, Nazatulshima Yahaya berkata, peruntukan cuti tambahan itu amat wajar untuk memberi kelegaan untuk menguruskan hal-hal tidak diduga.

“Walaupun masyarakat berpendapat cikgu ada banyak cuti tapi untuk urusan kecemasan, keperluan cuti sama seperti kakitangan awam yang lain.

“Perluasan cuti untuk kematian ahli keluarga juga satu penambahbaikan yang baik bagi memudahkan urusan menziarahi ahli keluarga yg meninggal dunia.

“Sebagai penjawat awam, saya mengucapkan ribuan terima kasih atas keprihatinan pihak kerajaan kepada semua penjawat terutamanya para guru,” katanya.

Guru Prasekolah di Sekolah Kebangsaan Macang Bubok, Seberang Perai Tengah, Aslinda Abdul Malik berkata, peruntukan baharu itu bukan sahaja meringankan beban perbelanjaan keluarga bahkan memberi peluang kepada para guru untuk menambah simpanan bulanan atau untuk keperluan semasa sesi persekolahan baharu.

Aslinda Abdul Malik



LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here