Penjual makanan digesa turunkan harga jualan

0
12
GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Golongan peniaga khususnya penjual makanan digesa supaya menurunkan harga jualan dan tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga berikutan kenaikan harga yang bersifat sementara.

Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata, ketika tempoh berlaku kenaikan harga barangan seperti ayam sebelum ini, penjual terpaksa menaikkan harga jualan mereka namun kini hasil intervensi kerajaan harga barangan kembali rendah dan stabil.

Justeru itu, beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, menjadi tanggungjawab peniaga untuk bersama-sama berusaha dan sedia menurunkan harga jualan mereka.

“Laporan yang dibentangkan hari ini, membuktikan harga ayam dalam pasaran seluruh negara telah berada di tahap lebih rendah daripada harga siling dan lebih rendah berbanding ketika harga naik melonjak.

“Data menunjukkan harga makanan berkaitan ayam telah dinaikkan dengan agak tinggi. Apakah tidak mungkin bagi peniaga yang berkaitan untuk turunkan semula harga setimpal dengan harga ayam,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pasukan khas itu di Bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Menurutnya, terdapat juga produk lain yang tidak terkesan dengan kenaikan harga tertentu dan tidak tersenarai sebagai barangan kawalan tetapi harga dinaikkan penjual.

“Kita (kerajaan) harapkan tiada amalan mengambil kesempatan, pencatutan harga dan mengambil untung secara melampau dengan satu-satu situasi yang berlaku,” katanya.

Walaupun data terperinci daripada Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati kedudukan inflasi negara secara relatif rendah iaitu 3.4 peratus dan terendah dalam kalangan negara ASEAN, namun tidak dinafikan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan terutama makanan menjejaskan golongan berpendapatan rendah.

Justeru, kata Annuar, kerajaan berpendirian untuk terus berusaha memastikan harga barangan utama tidak terus naik dan dikawal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here