Permohonan Najib kemuka keterangan baharu perlu ditolak – Timbalan Pendakwa Raya

0
22
V. SITHAMBARAM

PUTRAJAYA – Permohonan pasukan pembelaan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi mengemukakan keterangan baharu dalam rayuan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC Sdn Bhd perlu ditolak kerana kandungan afidavit bekas perdana menteri itu bersumberkan keterangan dengar cakap (hearsay).

Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V. Sithambaram, dalam hujahannya berkata, permohonan tersebut sebenarnya percubaan terakhir Najib untuk memesongkan perjalanan kes dengan mendapatkan maklumat daripada saksi dinamakan dan tidak dinamakan.

“Permohonan itu tidak disokong afidavit sepatutnya untuk mahkamah bertindak,” katanya ketika membantah permohonan Najib di Mahkamah Persekutuan, hari ini.

Dalam hujahnya, Sithambaram berkata, dakwaan perayu adalah berdasarkan alasan yang tidak mungkin dapat dipertahankan iaitu pinjaman berjumlah RM4.17 bilion diberikan Maybank kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Begitu juga dengan permohonan bagi memasukkan bukti baharu berhubung peranan Mohd Nazlan sebagai Kaunsel dan Setiausaha Syarikat Kumpulan Maybank tidak disokong dengan afidavit sewajarnya.

“Mereka (perayu) tahu peranan Mohd Nazlan dalam Maybank dan peranan Bina Fikir Sdn Bhd (bahagian penasihat kewangan Maybank) dalam memberikan khidmat nasihat bagi penubuhan SRC.

“Ketika itu, mereka boleh saja membangkitkan perkara ini tetapi mereka memilih untuk tidak berbuat demikian. Mereka mengemukakannya sekarang dengan cara sebegini kerana kes tidak berpihak kepada mereka,” hujahnya lagi.

Prosiding bersambung esok dengan peguam Najib, Hisyam Teh Poh Teik akan membalas hujahan responden sebelum panel lima hakim Mahkamah Persekutuan memberikan keputusan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here