Pesawat terhempas: Juruterbang cedera parah stabil, masih terima rawatan

0
12
Keadaan pesawat ringan yang terhempas semalam sehingga mengorbankan seorang juruterbang

IPOH – Juruterbang yang cedera parah selepas terbabit dalam nahas pesawat ringan terhempas di Jalan Sultan Nazrin Shah berhampiran Medan Gopeng pada Isnin dilaporkan stabil dan masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, keadaan itu sekali gus menafikan dakwaan bahawa juruterbang berusia 62 tahun itu telah meninggal dunia seperti mana tersebar sejak semalam.

Menurutnya, setakat ini, insiden yang berlaku sekitar jam 8 malam itu mengorbankan seorang juruterbang, Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, sementara seorang lagi, Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, terselamat dengan mengalami kecederaan.

“Semalam saya dengar ada khabar-khabar angin dan pihak media pun ada yang menghubungi saya mengatakan pilot (juruterbang) seorang lagi meninggal dunia.

“Cerita itu tidak benar, beliau masih lagi dirawat di HRPB dan keadaanya stabil,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan memulakan siasatan di tempat kejadian nahas itu pada Selasa.

Katanya, Polis Perak turut membantu siasatan dengan mengadakan kawalan di lokasi kejadian bagi mengelak sebarang pencerobohan ke atas serpihan dan bangkai pesawat.

“Kita lakukan kawalan sepanjang malam hinggalah pagi ini untuk memberi ruang kepada CAAM menjalankan siasatan tentang insiden berkenaan,” katanya.

Kejadian berlaku ketika pesawat berkenaan sedang menjalani latihan penerbangan di Sungai Pinji selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah.

Semalam, sebuah pesawat jenis PIPER 28-161 terhempas berhampiran rumah pam Sungai Rokam milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang terletak bersebelahan sebuah kediaman penduduk.

Difahamkan, pihak polis tidak menolak kemungkinan pesawat Piper PA 28 bernombor pendaftaran 9M-BAA berkenaan berlepas dari sekolah penerbangan terbabit lebih awal.

Siasatan oleh CAAM bakal dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here